Pas cuba jatuhkan PM ketika negara Islam sedang perkukuh perpaduan
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan Pas cuba menjatuhkan Perdana Menteri ketika negara-negara Islam memperkukuh perpaduan umat Islam.
Menurutnya, parti yang mengaku sebagai parti Islam di negara ini mendesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Islam yang dipilih rakyat.
“Dalam masa yang sama parti tersebut mula mempersoalkan kuasa jabatan Agama Islam di bawah Raja Raja Melayu sebagai ketua Agama Islam.
“Amat malang pembangkang yang terdiri daripada majoriti Islam sendiri yang mula mencabar instituisi yang menjadi ketua Agama Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pembangkang di negara ini terus cuba mengugat Perdana Menteri Islam yang diterima baik oleh negara lain termasuk negara-negara Islam.
Walhal, kata bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, negara-negara Islam lain mula bersatu dan memperkukuhkan negara mereka.
“Malaysia pernah menerajui OIC dan Anwar Ibrahim mempunyai ketokohan untuk membawa Malaysia ke tahap kegemilangan dahulu dalam kalangan kalangan negara Islam hari ini.
“Malangnya, ada pihak yang ingin mengagalkan peluang Malaysia mencapai tahap kecemerlangan tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Raja Kamarul berkata, Pas sebagai sebuah parti yang mengelar diri parti Islam lebih baik berdamai ke arah memperkukuhkan kerajaan Malaysia hari ini.
Jelasnya, Pas tidak harus cuba menggugat kestabilan negara dengan bertindak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang direstui oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam Malaysia.
“Ikutlah contoh global negara negara Islam lain yang giat berusaha mencari perdamaian dan bukan persengketaan demi penyatuan umat Islam sedunia.
“Sesungguhnya, Islam adalah agama perdamaiaan dan semua umat Islam adalah bersaudara, apakan lagi di dalam negara yang sama seperti Malaysia,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Abdul Hadi