Ada kesepakatan luar biasa ketika perbincangan PH, BN

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Nurin Aina Surip menganggap pembentukan Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah antara PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai permulaan kerjasama yang baik.

Pengerusi PH Merbok itu memberitahu bahawa wujud kesepakatan luar biasa ketika perbincangan berlangsung, selain menyatakan bahawa pembentukan majlis tersebut mampu menjadi pemangkin untuk membuat perubahan di peringkat akar umbi.

“(Perbincangan dua parti ini) satu permulaan yang sangat baik, bahkan dapat saya rasakan kesepakatan yang luar biasa ketika perbincangan tersebut.

Nurin Aina Surip

“Pembentukan Majlis Pimpinan Perpaduan peringkat negeri ini akan menjadi pemangkin untuk terus menerobos perubahan di akar umbi.

“Saya sangat positif akan hal ini dan berkeyakinan bahawa keikhlasan, kesepakatan dalam kesatuan, fokus serta matlamat yang satu (sama) akan mampu memobilisasi rakyat Kedah keseluruhannya untuk ‘kalih bagi sama’,” ujarnya ringkas ketika dihubungi Harapan Daily malam tadi.

Semalam, PH dan BN bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan tidak lama lagi.

Dalam perbincangan itu, BN dan PH bersetuju untuk mengadakan perbincangan meja bulat bersama pada 17 April ini yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dan perpaduan bagi menghadapi PRN.

Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN dan PH juga bersetuju mewujudkan empat jawatankuasa di bawah majlis tersebut iaitu Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Komunikasi Strategik dan Jawatankuasa Manifesto.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar pula berkata, satu konvensyen perpaduan akan diadakan pada 20 Mei depan untuk menentukan gerak kerja jentera parti masing-masing supaya rakyat dapat didekati secara berkesan.

 

BACA JUGA Politik Kedah menjelang PRN 2023