Pakar ekonomi sambut baik cadangan penubuhan Tabung Kewangan Asia
Pakar-pakar ekonomi Malaysia menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar negara-negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Asia (Asia Moneytory Fund – AMF).
Bagi mereka, ini langkah terbaik sebagai alternatif kepada IMF (International Moneytory Fund) yang memberikan penyelesaian yang memedihkan untuk negara yang membuat pinjaman dengannya, lapor Malaysiakini.
Ahli ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan penganalisis Pong Teng Siew menyatakan sokongan mereka terhadap idea itu, berkata memiliki AMF akan menyediakan negara rantau ini alternatif yang lebih baik semasa krisis.
Jomo berkata penubuhan AMF sekarang adalah tepat pada masanya, dan dia sentiasa menyokong idea itu sejak ia dicadangkan berikutan krisis 1997.
“Anda tidak boleh menubuhkan dana sedemikian di tengah-tengah krisis. Jadi sudah tiba masanya untuk berfikir ke hadapan.
“Ia akan mengurangkan kelemahan kita tanpa mengikat terlalu banyak sumber,” katanya melalui pesanan teks kepada portal berita itu.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Pong Teng Siew berkata IMF sering menawarkan “preskripsi” yang akhirnya “menjadi lebih teruk daripada apa yang diberikan oleh penawar itu.
“IMF versi Asia yang tidak berpegang kepada ekonomi preskriptif neoliberal IMF menawarkan alternatif yang munasabah kepada negara-negara yang tidak mahu mengalami kesakitan jangka pendek yang dikaitkan dengan aliran pemikiran IMF,” katanya.
Anwar memaklumkan Dewan Rakyat minggu lalu, beliau telah mencadangkan agar AMF ditubuhkan.
Dia juga berkata Bank Negara telah membuat cadangan untuk menggunakan Ringgit dan Renminbi dalam rundingan antara Malaysia dan China bukan lagi terikat dengan Dollar Amerika.
BACA JUGA PM Anwar bertemu Presiden China Xi Jinping
JUGA Anwar wajar dipuji berjaya raih pelaburan RM170 bilion hasil lawatan ke China