Bantuan khas RM250 pesawah diselesaikan sebelum Jumaat ini

Pembayaran bantuan khas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebanyak RM250 kepada pesawah di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor akan diselesaikan sebelum Jumaat ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pembayaran tersebut akan diselesaikan bagi pesawah yang mempunyai maklumat lengkap.

”Kementerian akan menyelesaikan pembayaran sebelum 14 April 2023. Pemberian bantuan khas sebanyak RM250 kepada setiap pesawah ini dijangka akan memanfaatkan 81,153 orang pesawah berdaftar di negeri berkenaan,” katanya memetik info grafik dikeluarkan hari ini.

Semalam Bernas dilapor menyalurkan sumbangan sebanyak RM20 juta kepada kementerian untuk diagihkan kepada pesawah di empat negeri tersebut.

Menurut kenyataan kementerian, pesawah di negeri lain akan menerima bantuan khas itu pada peringkat seterusnya setelah baki sumbangan disalurkan Bernas kelak.

Sebelum ini, sebanyak RM10 juta turut disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada penghujung tahun lalu dan telah diagihkan kepada tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ia merupakan sumbangan Bernas sebanyak RM60 juta kepada pesawah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Disember tahun lalu.

Bantuan itu juga merupakan tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 yang diberikan kepada setiap pesawah, seperti diumumkan oleh perdana menteri 29 Mac lalu.

Sebarang pertanyaan berkenaan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bagi pesawah dan nelayan, sila hubungi pihak KPKM dan jabatan/agensi KPKM dari jam 9 pagi hingga 4 petang seperti berikut:

i. Bilik Gerakan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri KPKM: 03-8870 1759/ 1760/ 1761;
ii. Jabatan Perikanan Malaysia (DOF): 03-8870 4422/ 4475;
iii. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP): 03-2610 9664;
iv. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM): 03-8064 9303;
v. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA): 04-772 8255; dan
vi. Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA): 09-745 5388 samb. 5433

Jam 9 pagi hingga 4 petang

– Ahad hingga Khamis (MADA dan KADA)

– Isnin hingga Jumaat (KPKM, DOF, LKIM dan LPP) kecuali pada hari cuti umum

BACA JUGA: Pesawah, nelayan dapat Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 10 April ini