‘Sampai bila pembangkang nak main sentimen kaum dan agama?’
“Sampai bila pembangkang nak main sentimen kebencian kaum dan agama?” soal Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan.
Menurutnya, permainan pembangkang itu jelas bertentangan dengan tuntutan agama ditambah pula dengan Pas yang kononnya parti memperjuangkan Islam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan polis ke atas dua pimpinan Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung kenyataan yang berbaur perkauman.
Sany yang juga Pengarah Mobilisasi AMANAH menegaskan bahawa Pas mendapat sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana bermodalkan politik fitnah dan adu domba.
“Saya musykil Pas yang konon membawa imej lebai tetapi suka melakukan pembohongan dan fitnah.
“Kamu dipilih oleh rakyat bukan sebab faktor kewibawaan dan kredibiliti tetapi diundi atas sebab fitnah dan pembohongan sehingga rakyat terperdaya dengan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang bagi membendung gejala fitnah yang kian berleluasa dan berharap rakyat lebih peka dengan perkembangan politik semasa.
“Jika pembangkang masih menggunakan fitnah-fitnah begini, pertama kita perlu menggunakan jalur undang-undang untuk mengekang budaya fitnah ini.
“Kedua, rakyat juga perlu ada kesedaran berpolitik supaya mereka celik untuk menilai tentang sesuatu isu,” tegasnya lagi.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan Hadi dan Fawwaz.
Abdul Hadi disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia, manakala Fawwaz pula didakwa memfitnah orang bukan Islam.
Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan adalah berkaitan niat mengapi-apikan atau mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.
BACA JUGA Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Abdul Hadi