Sanusi, tidak perlu politik berlebihan, patuhi titah Sultan Kedah

Tindakan melampau Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melakukan pembohongan termasuklah yang berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amatlah tidak wajar lebih-lebih lagi Tuanku Sultan Kedah pernah menitahkan supaya elakkan politik secara berlebihan.

Malah ujar Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac yang lalu Tuanku Sultan Kedah telah bertitah supaya sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain, khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperolehi manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang dan jelas ia menunjukkan harapan tinggi agar profesionalisme dapat dikekalkan demi rakyat negeri Kedah.

“MB adalah figura penting dalam sebuah negeri bukan sahaja mewakili rakyat negeri Kedah secara keseluruhannya, bahkan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik yang menyokong atau tidak menyokong beliau di peringkat Persekutuan.

“Sehubungan itu, sosok ini harus menenangkan semua pihak agar urusan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan sejajar dengan slogannya, Kedah negeri orang miskin boleh berteduh, tempat orang kaya menabur bakti,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.

Tambahnya, dakwaan terkini kononnya ada usaha terancang bagi menggantikan MB dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Majlis Kewangan Negara turut menjadi perdebatan hebat walhal dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai oleh Perdana Menteri atau mana-mana Menteri yang dilantik.

Manakala itu, setiap negeri diwakili individu diperkenan oleh Sultan atau Yang Di-pertua Negeri.

Ini jelas menunjukkan bahawa tiada kuasa Perdana Menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan oleh Sultan dalam konteks negeri Kedah.

“Saya optimis Sanusi amat memahami bahawa Islam mengajar umatnya agar sentiasa jujur dalam apa jua perbuatan termasuk pertuturan serta pembohongan tidak wajar dilakukan meskipun dengan tujuan berjenaka bagi menarik perhatian dan sokongan.

“Adalah diharapkan kepimpinan beliau mampu menterjemahkan kebenaran dalam ruang lingkup tindakan dan juga perkataan meskipun berdepan dengan sesuatu yang dianggap permusuhan.

“Kebenaran harus dinyatakan walaupun adakalanya ia adalah suatu yang kejam dalam hidup, sedangkan pembohongan tidak wajar dijadikan kebiasaan kerana ia akan membina tamadun yang tempang dan cacat kepada kebanyakan rakyat,” tambah beliau dalam kenyataan.

BACA JUGA Imej Pas sebagai tok guru, tok lebai dan ulama sudah hancur

JUGA Sanusi dianggap biadab, seolah-olah pertikai kuasa Sultan Kedah