JAKIM serah RM77.7 juta untuk guru agama, imam dan bilal di Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima penyerahan peruntukan sejumlah RM77.7 juta bagi tujuan pembayaran elaun kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak dan guru takmir untuk negeri tersebut bagi tahun ini.

Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tersebut turut melibatkan bayaran khas ‘one off’ untuk golongan penggerak agama tersebut, kata Ketua Pengarah JAKIM.

Peruntukan tersebut telah dipersembahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar kepada Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu lepas.

Turut menyaksikan penyerahan peruntukan tersebut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan pada hari Sabtu 15 April 2023 telah menyerahkan cek cura Peruntukan Kewangan JAKIM bagi tahun 2023 untuk Negeri Perak berjumlah RM77,769,264.00.

“Peruntukan ini adalah bagi tujuan pembayaran elaun dan imbuhan kepada guru KAFA, imam, bilal, siak dan guru takmir termasuk bayaran khas one-off RM600 kepada kumpulan berkenaan di negeri Perak,” kata Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan.

Hakimah berkata peruntukan kewangan JAKIM kepada negeri adalah sebahagian daripada jumlah RM1.5 bilion bajet bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam tahun 2023 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Februari lalu.

Katanya agihan ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Semoga dengan peruntukan yang disediakan ini, usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan lagi pengurusan hal ehwal Islam di negara ini ke arah membina generasi Al-Falah (berjaya) selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dapat dicapai,” katanya.

BACA JUGA: Kenaikan elaun guru KAFA tetap dibayar, salur melalui kerajaan negeri

Imam, bilal, guru KAFA, takmir dapat sumbangan RM600 sebelum 17 April