Imam, bilal, guru KAFA, takmir dapat sumbangan RM600 sebelum 17 April

Imam, bilal, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan takmir bakal mendapat sumbangan khas sebanyak RM600 menjelang 1 Syawal ini.

Pembayaran secara sekali bayar itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya 17 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd. Naim Mokhtar berkata, keputusan itu diambil selepas sesi perbincangan bersama antara Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat prihatin berhubung isu pembayaran sumbangan khas sebanyak RM600 secara one-off kepada para imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai jasa bakti para murabbi ummah yang mendidik masyarakat selain berharap penyaluran sumbangan khas itu dapat memberikan keceriaan dalam suasana membuat persiapan sambutan Aidilfitri.

BACA JUGA Pesawah terima tunai RM200, bantuan pekebun kecil getah naik RM800