Tabiat Sanusi suka main ‘wayang’ susahkan PN, kurang disenangi – Srikandi PKR
Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bermain ‘wayang’ secara berlebihan bakal menyusahkan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Ketua Srikandi PKR Armisah Abd Garan berkata keceluparan Sanusi juga kurang disenangi ramai penyokong PN selain mereka melihat perangai beliau sangat memalukan sebagai seorang yang berstatus Menteri Besar.
Katanya tingkah laku Menteri Besar Kedah itu hanya untuk mengalih tumpuan kegagalan beliau dalam mentadbir kerajaan negeri.
“Sanusi dilihat terlalu berdrama tentang hubungannya dengan kerajaan Persekutuan selain sering melemparkan fitnah dan bermain ‘wayang’ seolah beliau ditindas kerajaan Pusat.
“Saya berpandangan drama yang beliau cuba mainkan sekadar bahan kandungan TikTok untuk kegunaan pejuang maya mereka.
“Malah boleh dilihat kenyataan-kenyataan beliau (Sanusi) sebelum ini hanyalah sindiran tanpa isi dan fakta,” katanya dalam satu kenyataan.
Armisah berkata keadaan itu berbeza dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri pada Sabtu lalu yang menampilkan suasana kemesraan hubungan dengan kerajaan Pusat apabila menyambut serta mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang program beliau di Terengganu.
Menurutnya, dalam hantaran di laman rasmi Facebook Ahmad Samsuri, beliau berkata, hubungan kerajaan Terengganu dan kerajaan Persekutuan semakin erat selain kehadiran PM Anwar menunjukkan gambaran komitmen semangat hubungan proaktif antara kedua kerajaan berkenaan.
“Tidak terkecuali juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang hadir sendiri bertemu Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.
Pada 30 Mac lalu, Sanusi mendedahkan terdapat arahan bertulis daripada Kabinet yang melarang kehadiran beliau dalam sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.
Bagaimanapun, Armisah mendakwa sehingga kini Sanusi masih mencipta propaganda bahawa beliau dianiaya termasuk tuduhan menggugurkan beliau dari Majlis Kewangan Negara.
Tambahnya, walaupun mengikut Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan hanya Sultan Kedah boleh menggugurkan beliau.
Armisah turut mendakwa tuduhan Sanusi seolah merendahkan kredibiliti dan martabat Sultan Kedah malah lebih teruk Menteri Besar itu tidak mampu menunjukkan bukti bahawa beliau cuba disingkirkan melainkan hanya tuduhan tanpa asas.
“Tindakan ini jelas memperlekeh kuasa Sultan dan Raja dalam membuat keputusan,” ujarnya.
BACA JUGA: Sanusi dianggap biadab, seolah-olah pertikai kuasa Sultan Kedah