Tawaran PM untuk GPS adalah real, kata ahli MKT Umno
Tawaran dari Perikatan Nasional (PN) kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendapat jawatan perdana menteri jika bersetuju membentuk kerajaan dengan mereka adalah ‘real’ danĀ pemimpin Sarawak perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarangĀ keputusan.
Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia bukannya cerita-cerita propaganda atau perang saraf sahaja.
“Apa yang pernah dibongkarkan sebelum ini bukanlah hanya ‘cerita-cerita’ propaganda atau perang saraf pihak yang tidak bersetuju dengan PN tetapi hakikatnya tawaran kepada negeri Sarawak khususnya kepada GPS yang diterajui oleh Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg atau Abang Jo sememangnya wujud dan ‘real’,” kata Lokman menerusi satu kenyataan dalam Facebook beliau.
Sebelum ini, melalui siaran FB Live, Lokman pernah mendedahkan cadangan PN menawarkan jawatan PM kepada GPS bagi membolehkan PN kembali berkuasa.
Katanya, tujuan tawaran tentulah bagi merundingkan kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perpaduan walaupun Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sendiri terpaksa mencemar duli membantu menyelesaikan kemelut yang tidak terselesaikan antara gabungan parti-parti sebelum ini.
Baginda juga, katanya, Baginda sudah bertitah dan berharap agar tiada lagi pertukaran kerajaan, setidak-tidaknya semasa penggal baginda.
“Keterdesakan mahu memerintah kembali yang dilihat banyak pihak adalah kerana tidak mahu menjadi kluster mahkamah, di samping mahu terus meyakinkan penyokong-penyokong setia masing-masing yang mengundi di PRU-15 lepas bahawa PN masih relevan.
“Selain itu mereka tidak mahu taikun-taikun atau kontraktor-kontraktor besar yang menaja dana mereka selama ini ‘lari’ meninggalkan PN.
“Maka kerana itulah Perdana Menteri daripada Sarawak sanggup dicalonkan, walaupun pimpinan negeri itu sendiri masih belum memberi apa-apa keputusan malah amat berhati-hati kerana takut pisang berbuah dua kali, selain taat dan akur dengan titah saranan baginda Yang DiPertuan Agong,” kata Lokman yang menang dalam pemilihan Umno baru-baru ini selepas digantung jawatan beberapa tahun oleh Umno.
Bagi beliau, Sarawak tentu tidak mahu perkara yang tidak dingini berlaku yang akhirnya merugikan dan melemahkan Sarawak.
“Pertama, tentu pimpinan Sarawak tidak mahu “cara rundingan ala H20” dahulu yang berbohong kononnya Barisan Nasional di Semenanjung sudah bersetuju sedangkan hanya segelintir yang menyokong PN.
“Ia menatijahkan Sarawak menzahirkan sokongan kepada PN sebelum menarik kembali apabila sedar dan tidak mahu terjebak dengan pembohongan yang berlaku,” katanya.
Perkara kedua, katanya, tentu pemimpin-pemimpin Sarawak tidak mahu berlaku peristiwa “Ismail Sabri 2.0” di Sarawak jika “Datuk F’ dilantik sebagai Perdana Menteri kelak, di mana insiden “PM boneka” di bawah kawalan PN akan berulang, seperti yang terjadi kepada Umno di Semenanjung.
“Ia berlaku apabila Ismail Sabri menerima tawaran PN menjadi Perdana Menteri, yang rupa-rupanya mempunyai syarat-syarat tersirat yang merugikan dan melemahkan Umno sehingga kini,” katanya.
Selain itu, katanya, bayangkan jika PN sanggup memperlekeh dan mengecam wakil Sarawak yang hanya menjadi ‘messenger’ dan membawa hajat pemimpin-pemimpinnya.
“Jika PN benar-benar ikhlas mahu bekerjasama maka gabungan itu perlu keluar daripada Sarawak.
“Syarat ini diberikan demi melihat sama ada ‘tawaran’ Perdana Menteri daripada PN ini dibuat dengan ikhlas ataupun hanya mahu memperlakukan GPS sama seperti Umno, yakni dilemahkan daripada dalam dengan lantikan “PM boneka” seperti Ismail Sabri,” kata beliau.
Beliau mencadangkan agar pimpinan Sarawak perlu mengetahui dan ‘mendengar’ apa yang sebenarnya berlaku ketika rundingan.
“Mungkin ada nama besar dan individu berpengaruh ‘diperguna’ PN untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin Sarawak, sedangkan ia hanyalah penipuan – yang tentu menggemparkan satu negara jika ‘messenger’ tersebut membuat pendedahan,” katanya memberikan peringatan kepada pemimpin politik di Serawak.
BACA JUGA Jemput pembangkang ke TV Al-Hijrah: Jabatan hal-ehwal Islam perlu lebih berperanan
JUGA Isu tiket penerbangan mahal: Loke nafi tuduhan Ka Siong
Ā