Sanusi hadir Mesyuarat Fizikal Negara, bukti Kerajaan Perpaduan tidak sisih Kedah

Dakwaan sebelum ini mengatakan Kerajaan Perpaduan cuba menyisihkan Menteri Besar Kedah daripada program Persekutuan sebenarnya meleset.

Ini apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melibatkan negeri-negeri di bawah parti pembangkang ke dalam mesyuarat Pusat.

Sebagai contohnya semalam, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli turut dijemput hadir ke Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Pahang

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) akan memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.

Perdana Menteri berkata kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari susulan mesyuarat MPFN ke-41 yang dipengerusinya semalam dengan beberapa keputusan dilakukan hasil perbincangan di antara pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekaligus memudahkan urusan perniagaan.

“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sanusi (empat dari kanan) hadir dalam mesyuarat MPFN ke-41 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya pada 17 April 2023. Foto FB Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata mesyuarat turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.

Dalam hal ini, jelas beliau penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian dengan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam.

Dalam pada itu, Anwar berkata Proses dan Prosedur Cadangan Pemajuan Serta Pelaksanaan Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan berbanding 19 agensi sebelum ini.

“Tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau MPFN turut cakna dengan isu banjir kilat yang sering meresahkan rakyat.

“Maka, dalam hal ini Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat,” katanya.

BACA JUGA: Walau banyak berkelahi, Sanusi kekal jadi ‘poster boy’ PN Kedah