SPRM sita dua akaun Bersatu selepas dibeku

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun milik Bersatu setelah mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

SPRM dalam kenyataan berkata sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari lalu mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan berita akhbar (The Edge CEO Morning Brief pada 19 April, 2023) bertajuk, “Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days.

Terdahulu laporan menyebut Mahiaddin memfailkan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan yang mendakwanya menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company pada Selasa lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Mahiaddin, 75, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu selain prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Dia sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Bapa kepada penyanyi Najwa Mahiaddin, 37, itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Bekas Timbalan Presiden Umno itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

BACA JUGA: Mahiaddin mohon dilepas pertuduhan suapan RM232.5 juta