Ustaz Wadi Annuar tetap kena ‘menghadap’ atau bakal ditangkap

Penceramah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub tetap kena ‘menghadap’Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.

Jika gagal hadir pada tarikh itu untuk diambil keterangan, dia boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap.

Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, berkata Wadi Annuar sebelum ini memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan yang ditetapkan oleh JAIPs.

Justeru, jelasnya, siasatan berhubung penyertaan Wadi pada program solat tarawih dan sembang santai di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar yang sepatutnya dilaksanakan pada 17 April lalu terpaksa diubah kepada 2 Mei ini.

“JAIPs menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai dan pihak media berhubung sesi siasatan dengan Wadi Annuar yang sebelum ini dijadualkan pada 17 April lalu.

“Namun, Wadi Annuar memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan yang dikemukakan kepada JAIPs.

“Kita menegaskan bahawa siasatan terhadap beliau akan tetap diteruskan pada 2 Mei bersamaan Selasa hadapan dan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya arahan ini tidak dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, JAIPs sudah beberapa kali meminta Wadi Annuar untuk hadir ke pejabat jabatan agama Islam di Kangar itu untuk diambil keterangannya mengenai kehadirannya dalam program Pas yang dilakukan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

JAIPs juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kangar selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri itu.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menegur Wadi Annuar yang didakwa seperti mempersendakan peraturan serta titah oleh Raja Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah bertitah mengenai keperluan untuk mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada penguasa agama Islam di negeri itu sebelum memberikan ceramah mengenai agama Islam di setiap masjid atau surau di Perlis.

BACA JUGA Wadi Annuar akan dipanggil JAIPs kerana ceramah tanpa tauliah

Â