Esok raya pun Pas tuduh DAP guna cara penjajah, jadikan raja-raja perisai manusia
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat mempunyai banyak masa lapang dengan menyerang DAP bertubi-tubi ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri esok.
Menerusi siri tulisannya Bilangan 31 untuk tahun ini, Hadi menegaskan bahawa DAP menggunakan pendekatan yang sama seperti penjajah British termasuk menjadikan raja-raja sebagai perisai manusia.
Bagi slot Minda Presiden bertajuk, “DAP menyanggah Islam” itu juga, Hadi berkata, Pas tidak lupa sikap DAP yang menyanjung abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Menurutnya, Setiausaha Agung PKM yang meninggal dunia pada 16 September 2013 itu merupakan ketua pemberontak komunis yang membunuh ramai anggota tentera dan polis walaupun berperang pada zaman penjajah yang mengharamkannya.
“Malah, Pas juga tidak lupa sejarah ketika penjajah melakukan tipu helahnya, ketika raja-raja ditawan dan dicabut kuasa yang berdaulat, rakyatnya pula ditipu dan dibuli.
“Pas juga tidak lupa ketika raja-raja dijadikan perisai manusia oleh penjajah dengan hujah menentang raja apabila melawan penjajah,” ujarnya.
Justeru, Hadi menganggap DAP dan rakan-rakan parti roket itu menggunakan pendekatan yang sama seperti penjajah dahulu serta mempertahankan kerajaan yang diberi nama perpaduan walaupun tiada perpaduan selain raja-raja dijadikan perisai manusia dengan meninggalkan konsep Raja Berperlembagaan dan dipertanggungjawab menjaga agama Islam.
Dalam masa sama, Hadi, 76, yang menjadi Ahli Parlimen Marang sudah tiga penggal itu turut menyentuh hubungan DAP dan Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan Umno dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan PKR dan PAN (AMANAH) yang kehilangan undi Melayu Islam,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Abdul Hadi
Â