Inisiatif atasi masalah tiket penerbangan mahal waktu perayaan dirangka
Isu harga tiket penerbangan mahal menjelang musim perayaan terutamanya bagi laluan ke Sabah dan Sarawak mendapat perhatian pihak Kabinet, kata menteri pengangkutan.
Anthony Loke berkata pihak kementerian telah diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.
“Pihak kementerian juga cari jalan dan inisiatif menyelesaikan masalah ini bukan sahaja untuk sambutan Hari Raya malah perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
“Malah hampir dua bulan lalu pelbagai perancangan dan perbincangan telah dibuat umpamanya tambah kuota tiket sejak Mac lepas bagi mengatasi masalah ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 malam tadi, lapor Bernama.
Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri bermula esok.
Anthony berkata pihak kementerian sedang merangka inisiatif bagi membantu pelajar yang ingin pulang bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi juga cuti semester.
Jelasnya inisiatif itu menyasarkan kira-kira 50,000 orang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan golongan yang akan dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“(Mekanisme) ini juga sedang kita perincikan tetapi yang utama, kita sudah mengenal pasti dan dapatkan data pelajar dari Sabah serta Sarawak yang menuntut di Semenanjung.
“Begitu juga pelajar Semenanjung yang menuntut di dua negeri itu. Kumpulan ini ada lebih 50,000 orang dan kita sudah sasarkan mereka ini bakal dibantu,” katanya.
BACA JUGA: Isu tiket penerbangan mahal: Loke nafi tuduhan Ka Siong