Arahan MAIDAM tanpa penguatkuasaan jadi Isu panas ziarah raya

Isu arahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) agar orang politik tidak memberikan kuliah dan ucapan di masjid dan surau di Terengganu menjadi topik hangat dibincangkan sepanjang sambutan hari raya di negeri ini.

Perkara utama yang dibangkitkan adalah kenapa arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM itu tidak nampak ia akan dikuatkusakan walaupun sudah hampir dua bulan arahan itu berlalu.

Ia menjadi topik hangat ketika perantau pulang untuk beraya dan bertemu dengan sanak saudara mereka dari pelbagai kalangan sempena hari raya.

“Kenapa ye, ada arahan tetapi penguatkuasaan tidak ada,” kata seorang pegawai kerajaan yang pulang beraya di Terengganu kepada saudara mara mereka ketika bertemu merujuk kepada arahan orang politik tidak boleh memberikan kuliah dan ceramah di masjid dan surau di Terengganu.

Di depan beliau ada kadi yang masih bertugas, ada bekas penghulu dan ada pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIT) yang masih bertugas.

Bagi bekas penghulu, arahan ini sangat tidak kena sejak dari awal lagi kerana ia sukar hendak di laksanakan kecuali dengan ada kesungguhan politik (political will) dari pihak Istana dan MAIDAM serta pemimpin negeri sendiri.

“Nak laksana macamana, Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas) telah mengajar di masjid Rusila sejak tahun 1980an lagi.

“Takkan penguatkuasa agama mahu pergi tangkap Haji Hadi,” kata bekas penghulu yang mengenali Haji Hadi sejak dari sekolah lagi itu.

Pada hari pertama selepas arahan MAIDAM itu dikeluarkan, Ahli Parlimen Marang itu memberikan kuliah macam biasa di Masjid Rusila, Marang dan mempertahankan hak beliau untuk terus berbuat demikian.

Anak beliau yang juga Adun Batu Burok, Dr Mohamad Khalil Abdul Hadi juga memberikan kuliah dhuha di Masjid Rusila selepas itu, namun tidak ada nampak sebarang arahan atau teguran dari MAIDAM terhadap perilaku kedua-dua pemimpin politik itu.

Dalam arahan MAIDAM yang keluarkan pada 2 Mac lalu, kesemua wakil rakyat di Terengganu dilarang dari memberikan kuliah atau ceramah di masjid dan surau.

Kenyataan media MAIDAM yang melarang ahli politik memberikan kuliah dan ceramah di masjid tetapi sampai sekarang tidak nampak ia akan dikuatkuasakan,.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, semua kepimpinan politik tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid-masjid di Terengganu.

“Maidam memandang serius akan perkara ini dan mengambil keputusan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dalam surau dalam negeri Terengganu.

“Semua ADUN, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib imam solat Jumaat di Masjid,” kata kenyataan tersebut.

Bagi seorang kadi, keputusan ini sukar dilaksanakan di Terengganu dalam keadaan kerajaan negeri di tadbir oleh Pas manakala agama terletak di bawah Sultan.

Antara ketetapan yang dibuat MAIDAM yang kekal dengan ketetapan tetapi tidak ada sebarang penguatkuasaan sehingga kini.

 

“Arahan ini tak lojik sejak dari awal lagi. Takkan MAIDAM tak tahu ia tidak boleh dilaksanakan.

“Kalau Sheikh Harun masa muda dulu mungkin ia boleh dilaksanakan. Tetapi saya tak nampak ia akan berlaku dalam keadaan umur beliau sekarang,” katanya merujuk kepada Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, bekas kadi sebagaimana beliau itu.

Menurut beliau, walaupun MAIDAM terletak di bawah Sultan tetapi pentadbiran agama terletak di bawah JHEAIT yang terletak di bawah kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas sekarang.

“Dulu masa Sheikh Harun muda, dia pernah gunakan FRU untuk kuatkuasakan arahan,” kata beliau lagi merujuk kepada tindakan penguatkuasaan agama ketika Pas adalah pembangkang sebelum ini.

Menurut pegawai JHEAIT pula, masalah kakitangan penguatkuasa juga menjadi kekangan dalam menguatkuasakan arahan MAIDAM ini.

“Kita ada kira-kira 40 kakitangan penguatkuasa sahaja untuk seluruh Terengganu, sangat jauh lebih rendah dari bilangan penguatkuasa untuk orang buang sampah merata-rata,” kata beliau tetapi mengakui jika ada political will, ia boleh dilakukan dengan bantuan polis dan juga badan penguatkuasaan yang lain.

Akhirnya masing-masing setuju bahawa arahan MAIDAM ini hanya akan kekal di atas kertas sahaja tetapi tidak akan dikuatkuasakan.

“Kalau begitu, lebih tepat lagi kalau kita kata, arahan ini sekadar arahan tetapi tidak akan dikuatkuasakan sejak dari awal lagi,” kata pegawai kerajaan dari Kuala Lumpur itu.

BACA JUGA Selepas Hadi, hari ini anaknya pula langgar titah Sultan Terengganu

JUGA Nama Hadi Awang tiada dalam senarai penerima tauliah negeri Terengganu 

DAN JUGA Ahli politik tidak dibenar beri kuliah, khutbah di masjid, surau Terengganu