Jenama mi segera diarah ditarik balik, kandungan penyebab kanser

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan mengumumkan bahawa Mi Kari Putih Penang Alai yang dengan tarikh luput 25 Ogos tahun ini perlu ditarik balik dari pasaran tempatan.

“Bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai.

“Ianya adalah bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 daripada pasaran tempatan sekiranya ada,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Produk Indomie Perisa Ayam Spesial akan menjalani tindakan tahan, uji dan lepas di semua pintu masuk negara.

Tindakan ini susulan kepada penarikan semula jenama tersebut di Indonesia pada tahun lalu kerana mengandungi etilena oksida.

Etilena oksida ialah sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga. Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

Radzi menyatakan bahawa Bahagoan Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah kementeriannya telah mendapati terdapat 11 sampel produk Mi Sedaap yang turut mengandungi etilena oksida.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi etilena oksida dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

“Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk daripada pasaran,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan semalan Jabatan Kesihatan Taipei mendakwa dua jenama mi segera masing – masing dari Indonesia dan Malaysia mengandungi bahan penyebab penyakit kanser.

Jenama tersebut ialah ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida

Kehadiran etilena oksida dalam kedua-dua mi dan paket perencah produk Malaysia manakala untuk produk Indonesia ia dikesan pada paket perencah sahaja.

BACA JUGA: Hartal Doktor Kontrak sambut baik Dr Radzi dilantik KP Kesihatan baharu