Persoalan Najib, Umno dan isu berkaitan

Tarikh 28 April 2023 akan terpahat sebagai tarikh yang penting untuk sebahagian daripada anggota Umno kerana ini adalah tarikh bila mana Lembaga Pengampunan bermesyuarat untuk memberikan pengampunan kepada banduan.

Terdahulu Majlis Tertinggi Umno meluluskan usul untuk menyokong permohonan pengampunan mantan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Mujur juga, AMANAH telah mengumumkan pendirian mereka agar pengampunan tersebut tidak diberikan meskipun Umno sebahagian daripada blok kerajaan.

Anak Najib, Nooryana turut mengesahkan tidak menerima sebarang maklumat berkaitan permohonan pengampunannya.

Ada beberapa persoalan perundangan yang akan timbul sekiranya Lembaga Pengampunan membincangkan kes Najib sebegitu cepat.

Lima sebab dan persoalan

Pertama sekali ianya akan bertentangan dengan prosedur pengampunan. Ini kerana permohonan pengampunan hanya boleh diberikan kepada banduan yang telah menjalani hukuman penjara sekurang – kurangnya satu per tiga daripada jumlah hukumannya.

Ini bermakna Najib perlu kekal sebagai banduan selama empat tahun sebelum permohonan pengampunan dibuat kerana beliau menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Kedua, sekiranya pengampunan diberikan kepada beliau sekarang ia akan merencatkan proses kehakiman terhadap tuduhan lain yang dihadapi Najib.

Pengampunan tersebut tidak akan bernilai sekiranya Najib terpaksa kembali ke penjara kes lain.

Apakah undang-undang yang dilaksanakan itu ada dua darjat? Satu untuk rakyat marhaen dan satu lagi untuk golongan kayangan.

Itu persepsi yang akan timbul dalam kalangan rakyat kebanyakan.

Imej negara yang terjejas kerana skandal 1MDB akan tercemar sekali lagi kerana ia memberi gambaran negatif kepada dunia luar.

Kesannya ialah kedudukan Malaysia di dalam Indeks Tadbir Urus Kerajaan akan merudum. Apakah ini yang dimahukan Malaysia?

Selain itu pengampunan kepada Najib sekarang hanya akan mencemarkan rangka kerja Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jangan kita lupa, idea Malaysia Madani itu bukan untuk kita semata-mata malahan juga untuk anak cucu.

Adakah impian untuk anak cucu perlu digadaikan demi susuk tubuh yang bernama Najib?

Pesanan buat Umno

Fokus Umno sekarang sepatutnya tidak tertumpu kepada membebaskan Najib, sebaliknya fokus khusus perlu diberikan kepada usaha mengekalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Ini kerana desas – desus bahawa 15 Ahli Parlimen dari Umno/BN akan keluar banyak diperkatakan. Ada ura-ura yang mendakwa kumpulan ini akan diketuai oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Australia Dr James Chin

Menurut Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Australia Dr James Chin, kesemua 15 akan bertanding di kawasan masing-masing menggunakan tiket parti komponen Perikatan Nasional.

Namun peletakan jawatan ini tidak dijangka berlaku sebelum pilihan raya di enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam keadaan Umno mendapat tambahan hayat untuk mendirikan kerajaan, bukankah perkara ini jauh lebih penting untuk diberi perhatian berbanding dengan pembebasan Najib?

Pengajaran dari negara luar

Parti lebih penting berbanding individu. Umno perlu ingat peribahasa berikut: Patah tumbuh, hilang berganti.

Pemimpin parti akan sentiasa ada kerana ia selaras dengan proses peremajaan parti.

Ketaksuban ahli parti kepada seorang pemimpin parti semata – mata hanya akan menyebabkan parti tersebut terbantut dan tidak relevan.

Contoh terbaik ialah parti Kongres Kebangsaan India (INC).

Pemimpin INC Rahul Gandhi yang kehilangan kerusi parlimen

Presiden parti adalah Mallikarjun Kharge tetapi kesetiaan anggota kepada keluarga Gandhi, terutamanya Rahul Gandhi menyebabkan Kharge langsung tidak berada di persada politik utama.

Segala aktiviti parti masih tertumpu kepada Rahul dan ada juga usaha untuk mengetengahkan adik perempuannya Priyanka Vadra ke persada politik utama INC.

Ini juga menyebabkan INC tidak dapat berkembang dan mendapat sokongan umum.

Dalam perkembangan terkini Rahul Gandhi telah kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen dan ini turut menyebabkan masalah kepada INC.

Apakah ini nasib yang mahu dituruti Umno? Tepuk dada tanya selera.