Bukannya PN, laluan KJ jadi PM lebih cerah jika sertai DAP
Walaupun Khairy Jamaluddin atau KJ, menurut Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan bakal menyertai PN, tetapi kenyataan Ong Kian Ming bahawa bekas Menteri Kesihatan itu sepatutnya memilih DAP kerana parti itu memerlukan calon Perdana Menteri – wow – ini adalah umpama tawaran yang cukup menarik kepada beliau.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, KJ sesuai untuk bersama DAP.
“DAP memerlukan calon Perdana Menteri,” tambahnya.
Dianggap sebagai calon Perdana Menteri masa depan sejak memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno lagi, namun selepas dipecat daripada Umno baru-baru ini, masa depannya dilihat jadi tidak menentu.
Yang pasti, peluang untuk KJ mengejar kerusi Perdana Menteri melalui Umno sudah semakin menjauh untuk dicapainya.
Ia terutamanya kerana Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang memecat beliau kini kian mengukuh kedudukannya dalam parti itu.
Zahid Hamidi dilihat berpotensi untuk kekal menerajui Umno untuk dua atau tiga penggal lagi, tidak kira sama ada parti itu kian baik atau merudum prestasinya dalam PRU-PRU mendatang.
Selagi Zahid Hamidi menerajui Umno, usahlah KJ bermimpi untuk kembali kepada parti itu semula.
Demi mengejar cita-citanya, KJ tiada pilihan lain selain perlu mencari parti baru sebagai wadah meneruskan perjuangannya.
Tetapi, semua parti lain boleh dikatakan sudah ada “senarai menunggu” calon Perdana Menteri masing-masingnya.
Bersatu, selain Mahiaddin Md Yasin, parti itu sudah ada Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali yang dikira berpotensi menjadi Perdana Menteri.
Pas pula, di samping Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man, mereka juga ada Takiyuddin dan Ahmad Samsuri Mokhtar yang sedang bersinar sebagai bintang masa depan.
Begitu juga dengan PKR, selain Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semasa, pelapis seperti Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah adalah calon “senarai menunggu” yang layak menjadi Perdana Menteri.
Katalah beliau memilih menyertai PN, KJ harus bersaing dengan nama-nama yang lebih kukuh daripada Bersatu dan Pas untuk mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Hanya DAP, walaupun ada beberapa pemimpin Melayu di dalamnya yang menjadi Ahli Parlimen, malangnya tiada seorang pun ternampak berwibawa serta ada ketokohan untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri.
Bererti, jika masuk DAP, KJ adalah calon tunggal parti itu bagi jawatan Perdana Menteri bersama jumlah Ahli Parlimen parti itu ketika ini adalah kedua terbanyak selepas Pas.
Maka, menyertai DAP lebih memberi peluang yang cerah kepada KJ untuk menggapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Tambahan lagi, berbanding parti lain yang mungkin mengalami turun naik jumlah kerusi Parlimen mengikut pergolakan politik semasa, DAP boleh dikatakan stabil dengan kemampuan memenangi sekitar 40 hingga 50 kerusi Parlimen di kawasan bandar.
Malah, jika KJ menyertai DAP dan ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri, lebih ramai Melayu akan berminat kepada parti itu.
Menantu Tun Abdullah Badawi itu juga barangkali akhirnya mampu mencipta sejarah menukar DAP menjadi sebuah parti berbilang kaum yang sebenar-benarnya.
BACA JUGA Kena bincang dalam parti jika Khairy mahu sertai PKR