BN tolak politik gugat kestabilan, tegaskan sokongan kepada Anwar

Barisan Nasional (BN) mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pihaknya menyeru semua pihak untuk memberikan fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan.

“BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Zambry berkata terdapat pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan dalam media sosial oleh kalangan tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat negara terus berantakan.

Katanya negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

“Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa. Justeru itu, asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat,” ujarnya yang juga Menteri Luar.

Kenyataan BN itu dikeluarkan ketika cakap-cakap mengenai usaha pembangkang untuk merampas kuasa kuat diperkatakan.

BN mengambil keputusan memberikan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Kewujudan komplot rampasan kuasa itu diakui oleh Perdana Menteri namun menganggap ia tidak mempunyai asas.

Semalam Anwar mencabar pembangkang untuk membuktikan sokongan majoriti yang diperoleh jika ada ke sidang Parlimen.

BACA JUGA: Hadi, bapa penggugat kestabilan negara