Perumahan sakit berkurang, 92 projek lagi berjaya dipulih sejak Disember

Sebanyak 92 projek perumahan swasta kategori sakit telah berjaya dipulihkan sejak Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 30 Disember tahun lalu.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bagi tempoh 31 Disember 2022 sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 80 projek perumahan swasta sakit berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 92 projek membabitkan 6,700 unit dianggarkan bernilai RM5 bilion berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit bagi suku tahun pertama ini, katanya.

”Sebanyak 12 projek sakit juga telah dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan atau pun kita boleh kategorikan sebagai lancar dengan menjadikan jumlah keseluruhan sejak adanya jawatankuasa ini, 92 projek turut berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit bagi suku tahun pertama tahun ini.

”Jadi untuk suku pertama tahun ini, sememangnya jawatankuasa tersebut telah menumpukan kepada kaedah pengesanan yang lebih terperinci.

”Ia supaya kita dapat mengenal pasti maklumat keseluruhan projek perumahan yang berlesen dan mengesan pergerakan projek perumahan swasta yang lancar, lewat, sakit dan terbengkalai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media status terkini Projek Perumahan Lewat, Sakit dan Terbengkalai dalam sidang media di Perbadanan PR1MA di Petaling Jaya hari ini.

Akmal berkata statistik semasa sehingga 31 Mac lalu menunjukkan sebanyak 435 projek dikategorikan sebagai sakit, 110 projek lewat dan dan 112 projek dikategorikan sebagai terbengkalai.

Katanya projek perumahan terbengkalai disebabkan antaranya masalah kewangan pihak pemaju, isu kekurangan pekerja khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkara melibatkan utiliti.

Pada 21 Mac lalu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru mendedahkan sebanyak 125,000 isi rumah terkesan secara tidak langsung disebabkan projek perumahan yang lewat siap, sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

Katanya, melalui pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk meneliti isu-isu tersebut, kementerian kini sedang giat berusaha membantu untuk menyelesaikan masalah pembeli dan pemaju perumahan dengan memberi tumpuan yang lebih berstruktur.

BACA JUGA: KPKT kenal pasti 436 projek perumahan sakit sehingga Februari