Adakan konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan turut diadakan di peringkat negeri.

Jelasnya, ia dapat memberi peluang kepada lebih ramai akar umbi parti untuk menyuarakan pandangan serta idea mereka.

“Saya lihat bahawa harus ada tindakan susulan di mana saya yakin konvensyen peringkat negeri dicadangkan supaya diadakan.

“Ia supaya akar umbi turut dapat menyertai, bukan sahaja mendengar tetapi memberi pandangan yang pelbagai untuk mewarnai kepelbagaian, (jadi) harus kita buka kepada orang ramai untuk menyertainya,” katanya memetik laporan daripada Utusan Malaysia.

Semalam, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali di PWTC itu berjaya menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, konvensyen yang berlangsung semalam itu turut berjaya mewujudkan keserasian dalam kalangan pemimpin utama parti.

Menurut beliau, keserasian merupakan unsur penting yang perlu ada di dalam gabungan kerajaan itu bagi menghadapi PRN pada Julai ini.

“Semalam jelas (keserasian) bukan setakat pemimpin di atas pentas tetapi perwakilan daripada pelbagai parti yang berada dalam dewan, (mereka) bukan hanya mendengar tetapi juga berinteraksi antara satu sama lain. Yang kita akan hadapi nanti ialah PRN, jadi keserasian ini penting untuk kita laksanakan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan ada dalam kalangan bekas ahli Umno yang merasakan bahawa tidak sepatutnya pemimpin dari parti lain berucap di konvensyen berkenaan, kononnya melunturi semangat nasionalisme.

“Hakikat politik, kita harus lihat dari segi dinamika, bukan kita mahu fokus kepada sesebuah parti atau tokoh tapi kita lihat hakikatnya bahawa kemajmukan ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan perlu disantuni,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan gabungan PH dan BN negeri akan mengadakan Konvensyen Perpaduan pada 21 Mei ini.

Mahdzir berkata konvensyen tersebut akan diadakan di Alor Setar dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Konvensyen julung kali diadakan itu dibuat untuk mengeratkan kerjasama PH-BN dan meningkatkan persefahaman menjelang pilihan raya negeri serta menyampaikan maklumat hala tuju dan perancangan negeri Jelapang Padi itu.