“Umno kawan kite” jadi frasa popular di WTC semalam

“Umno kawan kite,” menjadi frasa yang paling menarik bagi para penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan yang buat pertama kali memasuki dewan World Trade Centre (WTC), Ibu Pejabat Umno semalam.

Ini kerana, selama ini tidak terbayang oleh mereka akan bersama-sama Umno bahkan memasuki bangunan ibu pejabat parti itu selepas sekian lama menjadi musuh tradisi dengannya.

Anwar menandatangani ikrar dengan diperhatikan oleh rakan-rakan utama Kerajaan Perpaduan.

Namun mereka bersama-sama semalam dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang menggabung semua pemimpin pelbagai peringkat dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga Warisan.

“Umno kawan kite” pada asalnya adalah pantun yang disampaikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pilihan raya kecil Tanjung Pia.

Namun pantun itu kemudiannya dipopularkan oleh bekas timbalan beliau yang kini Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Semasa kempen Tanjung Piai, Hadi berpantun:

Tanjung Piai pergi ke Dumai,
Sampai di sana naik kereta,
Keluar mengundi beramai-ramai,
Undi MCA kawan kite.

Mohamad telah menukar MCA kawan kite kepada Umno kawan kite dalam ceramah-ceramah beliau.

Anwar salute kepada 148 ahli parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi majlis semalam, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, juga sempat berseluruh apabila berkata, agak sukar bagi Setiausaha Komunikasi DAP Teo Nie Chin untuk bersama-sama Umno.

“Namun sejak seminggu lalu saya lihat Yb Teo Nie Chin hampir setiap hari berada bersama kami semua di dalam Ibu Pejabat Umno ini,” kata Asyraf yang merupakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu.

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong juga turut membuat penyataan menarik ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan besar semalam dalam bentuk pantun.

“Dulu lawan kini kawan,
Dulu kawan kini lawan,
Tak kisah lawan atau pun kawan,
Yang penting hati rakyat mesti ditawan.”

Pantun Wee Ka Siong disambut dengan menarik oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Pakatan Harapan.

“Saya tertarik dengan kata-kata Datuk Seri Wee Ka Siong yang mana berkata ‘dulu lawan, sekarang kawan’. Kami dalam reformasi ada juga slogan begitu, lawan tetap lawan.

“Saya bimbang jadi sekarang kena tukar. Sekarang kita tukar ‘dulu lawan sekarang kawan, kena tambah yang itu,” katanya dalam ucapan sesi Bicara Rakyat dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Tiga tonggak utama Kerajaan Perpaduan berdepan dengan seluruh pimpinan pelbagai peringkat parti mereka semalam.

Lebih 3,000 peserta memenuhi Konvensyen buat pertama kali itu manakala ribuan lagi berada dalam dewan-dewan bersebelahan serta ruang legar WTC bagi mengikuti perhimpunan buat julung kali itu.

BACA JUGA  Tiada lagi cubaan sabotaj, sokongan kepada Kerajaan Perpaduan “lebih kemas”

JUGA Konvensyen hantar mesej kerajaan kukuh, stabil dan berfungsi

DAN JUGA PM Anwar ‘salute’ 148 Ahli Parlimen, 19 parti bentuk kerajaan stabil