Nakba: Hentikan penindasan ke atas Palestin – PM Anwar

Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama-sama memastikan ada noktah ke atas penindasan yang dipaksakan terhadap warga Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masanya telah tiba untuk semua pihak menggalang kekuatan dengan matlamat menamatkan ketidakadilan ke atas rakyat Palestin.

“Bagi memperingati ulang tahun Nakba yang ke-75, Malaysia mengulangi komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam menentang kebijakan imperialisme rejim aparteid Zionis Israel yang rakus dan menginjak prinsip-prinsip kemanusiaan,” katanya menerusi Facebook semalam.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia berpegang utuh dalam pendiriannya mengutuk pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin yang diceroboh, serta penindasan terhadap warga Palestin yang dihalang daripada mendapatkan hak sebagai rakyat yang sah dan mutlak.

Anwar berkata, Malaysia selaku ahli dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin (CEIRPP) yang menganjurkan acara memperingati Nakba itu juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan Israel bertanggungjawab terhadap kekejaman yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB saban tahun.

Hari Nakba pada 15 Mei adalah untuk memperingati tragedi pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari kediaman dan tanah air mereka pada 1948 selepas penubuhan negara haram Israel.

BACA JUGA: Kerajaan Malaysia kecam keras pencerobohan askar Israel bunuh rakyat Palestin