Dacing BN boleh menang di dalam PRN K’tan T’ganu

Pemimpin akar umbi Pakatan Harapan percaya bahawa penggunaan logo dacing Barisan Nasional di dalam pilihan raya negeri Kelantan dan Terengganu akan memberikan kelebihan.

Kedua-dua negeri majoriti Melayu adalah negeri tradisi yang menyaksikan pertembungan Umno dan Pas dan pengundi juga lebih mengenali logo kedua-dua parti tersebut, berbanding dengan parti-parti Pakatan Harapan.

Naib pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff dilaporkan sebagai berkata adalah wajar untuk menggunakan dacing kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai 80 hingga 85% kawasan majoriti Melayu.

“Ada sejarah lampau di antara BN dan PAS. PH boleh menang, mungkin di satu, dua kawasan.

“Untuk PRN di negeri-negeri ini, secara peribadi saya tiada masalah menggunakan logo BN kerana kita tahu di Terengganu dan Kelantan, kalau bukan Pas, maka Umno… dan ini bukan perkara baru, dia dipetik berkata oleh portal The Malaysian Insight.

Di Kedah yang kini diterajui oleh Pas pula, Zulhazmi berkata kajian di peringkat akar umbi diperlukan kerana perubahan dalam pola pengundian dan demografi pengundi.

“Di negeri ini, jika kita lihat pola penduduk dan statistik, PH lebih menyerlah berbanding BN. Kita perlu menilai statistik untuk menentukan sama ada mahu menggunakan logo PH atau BN.”

Sentimen pengundi

Zulhazmi yang menjadi calon DAP tunggal di kawasan parlimen Jerai tetapi tewas dalam dalam pilihan raya umum ke-15.

Dia berkata pilihan logo lebih jelas di negeri pantai timur di mana sentimen Melayu kuat manakala di negeri seperti Kedah, Perlis dan Perak sentimen pengundi adalah sederhana.

“Umno telah berada di Kelantan lebih lama dan hampir memenangi 22 kerusi dalam tahun 2004. Itu faktor kekuatan. Saya fikir Umno boleh saja menggunakan logo Umno dan PH gunakan logo PH,” katanya.

Di Negeri Sembilan, sekiranya kerajaan perpaduan kukuh kerana tiada pembangkang, logo siapa yang akan digunakan? Kita perlu perhalusi perkara ini. Strategi yang salah akan menyebabkan kita hilang kerusi.

Ketua cabang Ampang PKR. Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata isu logo perkara ini sedang diteliti oleh kepimpinan tetapi menegaskan bahawa PH akan menggunakan logonya di Selangor.

“Di Selangor, adalah tidak logik untuk PH menggunakan logo lain, tetapi di negeri lain saya tak pasti. Berdasarkan data akar umbi (di Selangor), tak wajar guna logo lain selain logo PH,” katanya.

Naib presiden AMANAH Adly Zahary pula berkata pihaknya melihat semua kebarangkalian tetapi pokok pangkalnya ialah semua pihak perlu bersetuju.

BACA JUGA: Konvensyen Perpaduan Kedah 21 Mei