1,300 peserta hadiri Konvensyen Perpaduan Kedah

Seramai 1,300 peserta akan menghadiri Konvensyen Perpaduan Kedah yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mei di Kompleks Perniagaan Ampang, Alor Setar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata konvensyen tersebut akan menjadi persada untuk pemimpin parti berkongsi maklumat dan pandangan berkaitan pilihan raya negeri akan datang.

“Konvensyen ini boleh mengukuhkan hubungan di antara BN dan PH untuk melangkah ke depan bagi memastikan kita mencapai kejayaan di dalam pilihan raya negeri di Kedah,” kata beliau.

Kita mempunyai sekurang-kurangnya 60 hari untuk PRN. Oleh itu kita wajar berjumpa dan bermesyuarat bukan sahaja di peringkat atas malah di peringkat bawah juga dan berjumpa pimpinan lapisan kedua, ketiga dan akar umbi di kesemua 15 kawasan parlimen.

Mahdzir berharap rakyat Kedah akan yakin untuk mengundi gabungan BN dan PH di dalam PRN akan datang dan memastikan gabungan sama memerintah di peringkat negeri.

Ini adalah Konvensyen Perpaduan pertama di peringkat negeri.