Shahidan kecoh, tak puas hati Bagan sebut “Kerajaan Muhyiddin”
Sidang Dewan Rakyat berlangsung agak kecoh pagi ini selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendesak seorang ahli parlimen kerajaan menarik semula ucapannya yang menyebut nama “Muhyiddin”.
Ketika Lim Guan Eng (PH-Bagan) bertanya soalan tambahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau merujuk kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin dengan namanya, bukannya kawasan sepertimana amalan di Dewan Rakyat.
Lim merujuk kepada penurunan kedudukan Malaysia di dalam Fitch Ratings ketika Mahiaddin menjadi perdana menteri.
Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menjawab soalan tambahan itu, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) membangkitkan peraturan mesyuarat 36 dan meminta Guan Eng menarik balik kata-katanya kerana menyebut nama Ahli Parlimen Pagoh.
“Aturan mesyuarat 36, seseorang ahli tidak benar menyebutkan nama ahli yang lain. Tadi Bagan menyebutkan Keraajaan Tann Sri Muhyiddin. Minta tarik balik”.
Permintaan itu tidak diendah Timbalan Speaker, Alice Lau yang kemudian meminta Gobind Singh Deo (PH-Damansara) untuk bertanya soalan seterusnya.
Ini menyebabkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) kecoh.
Shahidan: Yang Berhormat mana boleh teruskan Yang Berhormat. Yang Berhormat Speaker, peraturan mesyuarat telah dikeluarkan. Kalau Yang Berhormat tak setuju cakap tak setuju. Kalau tidak…
Alice: Arau Kalau Arau tahu peraturan mesyuarat, Arau pun tak boleh berdiru sekarang tak boleh bercakap.
Shahidan: Saya berdiri di bawah peraturan mesyuarat 36. Bagan menyebut nama Tan Sri Muhyiddin, dia tak boleh sebut nama macam tu. Dia kena sebut kawasan, Pagoh. Dan dia bersangka jahat kepada Muhyiddin.
Gobind pula bangkit mencelah menjelaskan bahawa apa yang disebut Bagan adalah kerajaan seseorang itu, dan bukannya nama individu itu semata-mata.
Namun keadaan makin tidak terkawal apabila Shahidan pula bertikam lidah dengan Gobind. Arahan Alice supaya Shahidan duduk juga tidak dilayan.
“Eh Damansara, saya bertanya Bagan tak tanya kamu. Saya tanya Bagan”.
Mikrofon ahli-ahli parlimen ditutup sementara untuk mendamaikan situasi tersebut
Alice kemudian menetapkan bahawa sidang Dewan diteruskan dan meminta semua ahli parlimen untuk duduk.
BACA JUGA: Kalau celaru kenapa pertumbuhan kita lebih dari China, Indonesia dan Vietnam