Pemuda Pas Kelantan desak siasat maklumat sulit AKSB bocor

Dewan Pemuda Pas Kelantan secara tidak langsung mengesahkan bahawa minit Lembaga Pengarah mesyuarat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang disebarkan adalah asli dan mendesak agar siasatan dilakukan bagaimana ia boleh dibocorkan.

“Kita mengambil maklum sebaran yang dibuat melibatkan pentadbiran AKSB berkaitan pemberian saguhati kepada Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan dan Setiausaha syarikat.

“Pertama walau pun dokumen bertahap sulit dan hanya boleh dicapai oleh segolongan orang tertentu sahaja tetapi ia kini telah disebar secara tidak wajar untuk tujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB,” kata Mohamad Kamal Mohamed, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dalam satu kenyataannya.

Sebelum ini tersebar minit mesyuarat yang dikatakan milik AKSB yang memutuskan untuk memberikan saguhati hari raya bernilai RM10,000 untuk semua ahli lembaga pengarah AKSB dan RM200 untuk kakitangannya.

Ia telah disebarkan oleh pelbagai pihak dan dikecam oleh netizen kerana ALP AKSB memutuskan untuk memberikan saguhati RM10,000 kepada setiap anggota mereka ketika kegagalan syarikat itu menguruskan pembekalan air bersih untuk Kelantan.

Bagaimanapun, Kamal mempertahankan tindakan memberikan saguhati RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah itu.

Poster yang diterbitkan oleh Dewan Pemuda Pas Kelantan yang secara tak langsung mengakui dokumen yang disebarkan adalah asli dan tulin.

“Kedua adalah menjadi prosedur biasa saguhati setahun sekali diberikan kepada ahli lembaga pengarah sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak Pengurusan.

“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu 7 daripada 9 orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan Teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” kata Kamal dalam kenyataannya.

AKSB dipengerusikan oleh Exco Kerjaraya Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor. Salah seorang dari sembilan ahli lembaganya adalah adik kepada Menteri Besar Kelantan.

Dalam kenyataan Ketua Pemuda Pas Kelantan hari ini, mereka meminta AKSB menyiasat bagaimana maklumat sulit itu boleh bocor.

“Tinggal lagi saya mohon mencadangkan agar AKSB boleh menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa orang yang wewenang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam dengan niat secara tidak baik kepada pihak pengadilan. Dokumen Sulit itu adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

BACA JUGA  Saguhati Aidilfitri AKSB merencatkan bantuan pusat kepada negeri