ABIM: Pemberian RM10,000 kepada ahli lembaga AKSB tidak menepati fiqh aulawiyat

Seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan mendakwa pemberian sagu hati RM10,000 kepada setiap ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd sebagai tidak menepati konsep keutamaan dalam tindakan atau fiqh aulawiyat.

Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad berkata AKSB sebagai syarikat pembekalan air terawat di negeri pantai timur itu mengakui mereka memerlukan suntikan dana besar bagi menyelesaikan isu bekalan air.

“Pemberian sagu hati hari raya kepada ahli lembaga pengarah AKSB tidak menepati fiqh aulawiyat kerana pemberian sagu hati tersebut adalah ‘mengutamakan sesuatu yang sepatutnya dikemudiankan’.

“Sedangkan pengamalan yang sepatutnya adalah ‘mengutamakan sesuatu yang perlu diberi keutamaan’,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, tular seorang individu dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain berkongsikan salinan notis yang didakwa dikeluarkan AKSB mengenai pemberian Aidilfitri.

Notis tersebut antara lain memaklumkan, AKSB meluluskan pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah AKSB manakala semua kakitangan syarikat menerima bayaran RM200.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mempertahankan pemberian sagu hati tersebut sebagai prosedur biasa AKSB bagi menghargai kerja-kerja ‘memerah minda’ dalam mengendalikan syarikat tersebut.

Justeru, jelasnya, pemberian sagu hati tersebut menguatkan lagi jawapan lisan bekas Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada 21 Julai tahun lalu bahawa AKSB berdepan libat urus yang lemah dan tidak kompeten.

“Kami menggesa ahli lembaga pengarah AKSB memperbetulkan tindakan tersebut dengan membuat kenyataan rasmi berkaitan isu ini segera dan bertanggungjawab dengan isu ini jika benar berlaku,” beliau dipetik berkata oleh media.