Syed Saddiq persoal ada agensi kerajaan tak bayar elaun pelatih industri

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa masih terdapat agensi kerajaan gagal membayar sebarang elaun kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan industri.

Beliau mempersoal mengapa ada agensi yang mengkhianati anak muda sedangkan Kabinet pada 2019 telah membuat ketetapan mewajibkan pembayaran dilakukan kepada pelajar-pelajar yang menyertai latihan industri.

“Pembayaran tersebut bukan sedikit, telah ada pindaan dari RM300 ke dalam kadar purata antara RM850 ke RM900 bagi setiap pelajar menyertai latihan industri di bawah agensi atau kementerian.

“Hari ini saya dapat banyak mesej dari anak-anak muda yang melalui latihan industri di bawah agensi kementerian berduit, tetapi tak dapat bayaran 1 sen pun walhal keputusan Kabinet itu adalah keputusan tertinggi.

“Biarpun setelah kerajaaan berubah, tidak ada pindaan berkenaan keputusan Kabinet. Ada pekeliling dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri, mengapa masih ada kementerian yang mengkhianati janji kepada anak muda ini,” soalnya pada Kementerian Sumber Manusia dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud turut senada dengan isu diutarakan Syed Saddiq dan mengatakan ia adalah satu peringatan kepada agensi-agensi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan akan menangani permasalahan itu dengan membawanya ke peringkat kementerian untuk dibincangkan.

“Saya fikir ini satu peringatan agak penting kepada kementerian-kementerian yang membuat latihan industri untuk mengkaji supaya dapat memberi elaun

“Saya fikir juga belum ada akta khusus yang dibuat untuk memastikan bahawa pelatih industri terutama anak muda diwajibkan untuk dibayar elaun.

“Ini kita perlu ambil kira dan ambil pandangan. Saranan Yang Berhormat Muar akan diperhalusi dan akan dibawa ke peringkat kementerian,” ujarnya.

BACA JUGA: Kerajaan kaji dasar gaji progresif, tingkat kadar pendapatan pekerja – Rafizi