Tiada pertuduhan lagi berkaitan pendedahan dokumen AKSB

Peguam yang mewakili Wan Mahussin Wan Hussin, Hisham Fauzi berkata siasatan polis ke atas anak guamnya dipercayai dibuat kerana pendedahan dokumen Air Kelantan Sdn Bhd yang mengumumkan pemberian sagu hati RM10,000 kepada ahli lembaga syarikat.

Hisham yang juga merupakan ahli jawatankuasa AMANAH Kelantan turut menyatakan bahawa anak guamnya itu belum didakwa di mahkamah.

Menurutnya, setakat ini, pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Wan Mahussin masih belum jelas.

“Kita tidak pasti sebenarnya kalau pertuduhan itu di bawah apa? Adakah sama ada di bawah kanun keseksaan? Pertuduhan masih belum jelas.

“Cuma kita dimaklumkan bahawa ada laporan polis ke atas Wan Mahussin dan kemudian polis panggil untuk diambil keterangan untuk melengkapkan siasatan,” katanya kepada Harapan Daily.

Wan Mahussin telah memberi keterangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan, malam tadi.

Dokumen AKSB yang ditularkan oleh Wan Mahussin turut menyatakan semua kakitangan syarikat akan menerima bayaran sebanyak RM200 manakala setiausaha syarikat akan menerima bayaran RM2000.

Ekoran itu, banyak pihak turut mempersoalkan pemberian wang tersebut kerana AKSB masih tidak berupaya menyelesaikan krisis air di Kelantan.

Untuk rekod, salah seorang pengarah AKSB ialah anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.