Meskipun kalah di peti undi, kawasan tetap disantuni Nicole

Berpegang teguh pada prinsip membantu rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira ideologi politik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon telah menghadiri Program Aidilfitri Taman Mantau Indah 1 dan 2 bertempat di Dewan Komuniti Taman Mantau Indah.

Katanya, walaupun Taman Mantau Indah merupakan satu-satunya peti undi yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kalah ketika Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15, namun banyak aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

“Nicole secara peribadi menyantuni penduduk di situ dengan begitu kerap. Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang membantu semua penduduk tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

“Sumbangan sebanyak RM2,000 turut diberikan Nicole untuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mantau Indah 1 dan 2 menjalankan aktiviti pada masa akan datang.

“Menurut Nicole lagi, KRT Mantau Indah 1 dan 2 dilihat sangat memberi sokongan dan kerjasama kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang dalam menjalankan aktiviti,” tulis pentadbir di laman Facebook Nicole hari ini.

Nicole yang juga Exco kerajaan negeri menambah, KRT di kawasan tersebut juga memberikan kerjasama yang cukup baik dalam menjalankan Program Jejak Warisan dan Jualan Harga Ladang Nismilan.

Justeru itu beliau berharap, sokongan dan kerjasama yang terjalin itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Tampin, Abd Latif A Tambi berkata, PH telah diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun agar tidak membeza-bezakan anggota masyarakat dengan wadah perjuangan mereka, kerana semuanya adalah rakyat Negeri Sembilan.

Tan ialah Adun penggal pertama Bukit Kepayang yang memenangi kerusi tersebut di dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 14,924 undi. Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan.

BACA JUGA: ADUN Bukit Kepayang edar sayur percuma, bantu ringan beban rakyat