Pempengaruh Wan Mahussin Wan Hussin mahu terus ‘berkokok’

Pempengaruh Wan Mahussin Wan Hussin mahu terus ‘berkokok’ untuk menyedarkan rakyat Kelantan berkenaan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas hingga ke tahap menyusahkan rakyat.

Biarpun tindakannya membongkarkan dokumen sulit kerajaan negeri Kelantan boleh dikenakan undang-undang, pempengaruh Wan Mahussin Wan Hussin tetap bertekad berbuat demikian bagi menyedarkan rakyat di negeri itu.

“Saya rasa teruja kerana laporan itu bukan fitnah tetapi ia berkisarkan tentang dokumen sulit yang menyusahkan rakyat Kelantan selama 33 tahun.

“Oleh itu, saya tetap berkokok untuk menyedarkan pemimpin yang kononnya berjuang demi rakyat,” katanya menerusi video Tiktok milik Rahim Husain.

Beliau berkata demikian selepas dirinya dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan dengan laporan di balai polis Ketereh yang dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Pas terhadapnya, semalam.

Baru-baru ini, Wan Hussin dilaporkan membongkar satu salinan notis AKSB mengenai pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan RM200 semua kakitangan syarikat itu.

Dalam masa sama, anak jati Kelantan itu turut mempersoalkan tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM35 juta yang gagal dibayar oleh AKSB.

Lebih memeritkan negeri pantai timur itu sering menghadapi masalah bekalan air bersih sehingga kerajaan pusat perlu memperuntukkan RM1 billion bagi membantu menyelesaikan krisis tersebut.

“Kenapa mereka boleh rasa tercabar dengan pembongkaran ini kerana ia sudah pasti membawa kesan yang besar kepada penguasa-penguasa yang sebelum ini lena di buai mimpi,” katanya.