Tiada unsur rasuah dalam kes parti kerajaan ketika PRU15

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti-parti yang didakwa mendapat pendanaan ketika pilihanraya umum ke-15 (PRU15) menunjukkan tiada unsur penerimaan rasuah, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang membangkitkan persoalan mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

“Walau bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa ketika ini,” kata Azalina.

Menjawab berkenaan isu yang sama kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Azalina menyatakan bahawa SPRM telah menjalankan penyiasatan terperinci berkaitan maklumat bahawa Perikatan Nasional mendapat sumbangan dana judi tetapi mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya.

Isu sama turut dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan persoalannya menjurus kepada ‘sedekah‘ yang dibayar kepada pengundi di Terengganu.