Wanita sambut Mahiaddin dengan kata “Selamat datang kluster mahkamah”

Tindakan berani seorang wanita yang melaungkan kata “Selamat datang kluster mahkamah’ ketika Tan Sri Mahiaddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi semalam menarik perhatian orang ramai.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di Tiktok milik Arjuna, wanita itu menjelaskan sememangnya sudah lama dia berhasrat mahu menyatakan sedemikian kepada bekas Perdana Menteri (PM) kelapan itu.

Wanita (gambar kecil) yang dipercayai penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap apa dihadapi oleh Mahiaddin itu satu ‘kifarah’ atas segala apa yang telah dilemparkan terhadap bekas PM keenam sebelum ini.

“Memang kakak dah simpan dalam hati kakak bila tersebarnya (berita) bekas PM, Mahiaddin dikenakan tuduhan penyalahgunaan wang haram RM232 juta.

“Jadi bila kes dia hari ini, kakak berhasrat akan hadir untuk mengatakan ‘Selamat datang kluster mahkamah’ kerana sebelum ini dia menghina Datuk Seri Najib dengan pelbagai perkataan dikeluarkan..

“Ini kifarah daripada Allah pada pagi Jumaat ini kena kepada dia sendiri,” katanya.

Semalam pihak pendakwaan yang mengendalikan empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan Mahiaddin memohon kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur supaya semua pertuduhan kes berkenaan dibicarakan bersama.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan pasukan pembelaan menjawab permohonan berkenaan pada atau sebelum 30 Jun ini sementara afidavit jawapan oleh pihak pendakwaaan dalam masa dua minggu iaitu 14 Julai depan.

Pada 10 Mac lalu, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac, Muhyiddin sekali lagi didakwa atas pertuduhan ketujuh, iaitu kes pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, tahun lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Najib dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 2 Mac lalu, laporan media menyebut Mahiaddin sebagai berkata sambutan menggalakkan dalam kempen dihadiri Najib atau dikenali sebagai Bosku tidak bermakna bekas PM keenam itu disokong rakyat.

Mahiaddin dilapor mendakwa orang ramai mengerumuni Najib kerana ingin melihat wajah ‘perompak’ dari dekat.

BACA JUGA: Pendakwa raya mohon 7 pertuduhan terhadap Mahiaddin dibicarakan bersekali