Pendakwa raya mohon 7 pertuduhan terhadap Mahiaddin dibicarakan bersekali

Pihak pendakwa raya telah memohon agar empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin melibatkan lebih RM232 juta dibicarakan bersekali.

Permohonan tersebut telah difailkan semalam, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebagai balasan, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mahiaddin Yassin berkata pihak pembelaan memerlukan waktu untuk membalas permohonan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan afidavit mereka sebagai jawapan kepada permohonan itu selewat-lewatnya pada 30 Jun, dan bagi pihak pendakwaan memfailkan sebarang jawapan kepada jawapan itu dalam tempoh dua minggu selepas 30 Jun.

Azura turut menetapkan 4 Ogos untuk sebutan kes memandangkan dua permohonan Muhyiddin belum selesai di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Permohonan pertama adalah untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, dan satu lagi untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa.

Peguam bela akan bantah

Hisyam Teh Poh Teik ialah peguam utama dalam pasukan pembelaan Tan Sri Mahiaddin Yassin

Hisyam Teh menegaskan bahawa pihak pembelaan akan membantah permohonan pihak pendakwaraya dan menyatakan bahawa salinan permohonan hanya diterima awal pagi ini.

Beliau turut mengulangi pendirian pembelaan bahawa tuduhan salah guna kuasa terhadap Mahiaddin tidak mendedahkan kesalahan undang-undang dan pertuduhan tidak mengandungi butiran kesalahan.

Mahiaddin telahpun memohon untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa yang merupakan pertuduhan utama. Baki tiga pertuduhan pengubahan wang haram bergantung pada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Mahiaddin berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Pendakwaan untuk tiga pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Mahiaddin didakwa menerima lebih dari RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Mahiaddin yang juga ahli parlimen Pagoh berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi kes pengubahan wang haram pula, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

BACA JUGA: Mahiaddin mohon dilepas pertuduhan suapan RM232.5 juta