Pas suruh jaga agama tapi…
Masalah bekalan air yang berlarutan sekian lama di Kelantan tidak terkecuali di masjid dan surau sekaligus menjejaskan kewajipan umat Islam untuk bersuci dan beribadah.
Berbanding negeri lain, membuang air di tandas di tempat ibadat di negeri yang digelar Serambi Makkah dilihat begitu ‘menguji’ kesabaran dan keimanan.
Malah, pengunjung dinasihatkan supaya memeriksa terlebih dahulu sebelum ‘membuang’ sama ada air mengalir keluar sejurus pili dibuka atau sebaliknya.
Lebih 30 tahun menerajui kerajaan negeri Kelantan, Pas gagal menjaga ‘tempat agama’ walaupun pemimpin dan penceramah parti hijau itu lantang bercakap tentang menjaga agama.
Hal itulah yang dibangkitkan pempengaruh Wan Mahussin Wan Zain.
“Demo suruh jaga agamo tapi demo tak jaga tempat agamo,” bidasnya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, orang ramai turut kecewa dengan masalah tadbir urus Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) meskipun setiap ahli lembaga pengarahnya menerima ‘duit raya’ berjumlah RM10,000.
Mereka termasuk anak jati Kelantan secara sinis berpendapat soal kepimpinan ulama adalah lebih penting diperjuangkan.
Malah, ada yang menyindir dengan mencadangkan pihak masjid menyediakan bahan-bahan untuk beristinjak.
“Pertahankan kepimpinan anak beranak. Keyakinan sagu hati tiap-tiap tahun terpasak.
“Pasti ada dalil atau alasan tu. Jangan risau.
“Kerajaan padang pasir ni rasanya. Pakai tayamun sajalah,” demikian antara cemuhan orang ramai di media sosial.
Sebelum ini, Kelantan dilapor memerlukan RM7 bilion bagi menyelesaikan keseluruhan masalah air dihadapi negeri itu sejak puluhan tahun lalu.
Masalah utama yang dihadapi Kelantan untuk menyelesaikan masalah itu ialah isu kewangan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau dilapor menjelaskan, pada asalnya kos untuk masalah itu sebanyak RM2 bilion, kini meningkat kepada RM7 bilion.
BACA JUGA Nak kritik Putrajaya tapi Pemuda Pas Kelantan pula kena ‘bambu’