Rafizi anggap kejatuhan nilai ringgit turut bawa kebaikan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kejatuhan nilai ringgit pada masa ini turut membawa kebaikan.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan berkata, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat susulan harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.

“Lebih tinggi harga minyak dan ringgit yang lemah bermakna lebih banyak duit kita dapat, namun bagi eksport kita adalah sebaliknya.

“Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyemak semula unjuran,” dipetik BH.

 

Rafizi Ramli

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK ke-12) bersama Kerajaan Johor, di Iskandar Puteri, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR itu berkata, kerajaan akan terus meneliti dan memantau perkembangan semasa nilai ringgit sebelum sebarang langkah diambil.

Jelasnya, kejatuhan nilai ringgit sejak dua minggu ini banyak dipengaruhi oleh hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sekaligus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Setakat ini, masih terlalu awal untuk kita menetapkan kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita kena menunggu data perdagangan dan ekonomi dalam dua bulan ini. Apa yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan bukan semata-mata kadar nilai turun naik ringgit namun lebih kepada aktiviti perdagangan termasuk eksport, import, harga minyak dan sebagainya,” tambah Rafizi lagi.

BACA JUGA Kerajaan kaji dasar gaji progresif, tingkat kadar pendapatan pekerja – Rafizi