Pas kepala ular tapi…

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Puad Zarkashi yang menyifatkan Pas sebagai kepala ular mempersoalkan keupayaan parti tersebut membentuk kerajaan berdasarkan kepada rekod pentadbiran parti tersebut di Kelantan.

“Menurut Hadi Awang, Pas boleh sertai kerajaan perpaduan asalkan Pas diberikan kelebihan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan presiden Pas, Abdul Hadi Awang bahawa partinya telah dijemput menyertai kerajaan dan mahu menerajui kerajaan.

“Maksudnya Pas mahu jawatan PM. Memang dari segi logik politik, Pas dapat jawatan PM. Pas ada 43 kerusi berbanding PKR 30 kerusi. Mana boleh Pas jadi “kepala ular yang dikecilkan”.

Meskipun Pas menjadi parti tunggal dengan jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, rekod pentadbiran parti tersebut di Kelantan sangat menghampakan dengan masalah air dan sebagainya, katanya lagi.

“Tetapi bolehkah pemimpin Pas jadi PM. Di Kelantan sudah berabad Pas memerintah. Masalah bekalan air tidak selesai juga. Bagi pula bonus kepada staf AKSB. Tidak sensitif langsung.”