Anak muda Negeri Sembilan mampu nilai kejayaan dilakar PH

Golongan anak muda di Negeri Sembilan diyakini mampu menilai kejayaan yang dilakar kerajaan negeri, sekali gus menyumbang kepada kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Umry Abdul Khois berkata, Pakatan Harapan (PH) negeri telah menyediakan semua keperluan anak muda di negeri Adat Perpatih itu.

“Saya yakin golongan belia mampu menjalankan tanggungjawab mereka. Justeru, undi anak muda dilihat menjadi penyumbang bagi mengekalkan pemerintahan kerajaan negeri di bawah PH.

“Pada saya, anak muda pada zaman sekarang sudah mampu menilai mengenai kejayaan manifesto kerajaan PH daripada segala aspek, malah 98 peratus manifesto telah berjaya ditunaikan.

“Saya lihat manifesto itu melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia.

“Contohnya, anak muda yang melanjutkan pelajaran diberikan bantuan kewangan daripada peringkat Diploma hingga Ijazah, malah bantuan kewangan juga disalurkan setiap bulan,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Umry Abdul Khois

Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya PH jangan ‘syok sendiri’ berikutan pengundi 18 terdedah kepada maklumat di pelbagai saluran media sosial.

Dalam pada itu, Umry memuji tadbir urus kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyaksikan golongan pelajar turut menerima bantuan komputer riba mengikut spesifikasi diperlukan.

“Bantuan komputer riba itu disediakan melalui Yayasan Negeri. Daripada situ, kita dapat lihat walaupun baru penggal pertama memerintah, kerajaan negeri sudah mampu menyediakan bantuan sedemikian.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan bantuan kepada murid sekolah bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Semua inisiatif tersebut berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pemerintahan PH di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” ujarnya lagi.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, dan tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson, manakala tiada kerusi berjaya dimenangi Perikatan Nasional (PN).

BACA JUGA Sijil Audit Negara bukti keupayaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan