DBP perlu jadi gedung budaya hebat – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi gedung budaya yang penting untuk pembinaan negara bangsa.

Perdana Menteri berkata walaupun ekonomi dan teknologi adalah dasar negara tetapi ia tidak boleh berkembang tanpa pembinaan budaya yang kukuh serta semangat karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti.

“Sebab itu DBP satu gedung yang penting dan saya berikan dokongan yang cukup kuat kepada DBP, baik penerbitan atau kegiatannya. Kita mahu lihat dalam bulan-bulan akan datang, DBP itu kembali sebagai gedung budaya yang hebat.

“Kerana ini, saya beri jaminan untuk kita angkat dan menyempurnakan semangat addabani rabbi fa ahsana ta’dibi (Tuhanku telah mendidiku dengan sebaik-baik didikan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga anak kepada Allahyarham Siddiq, Presiden WADAH Datuk Ahmad Azam Ab Rahman serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Anwar menerima bingkai poster kata-kata Allahyarham Siddiq Fadzil daripada Ahmad Azam selepas perasmian Seminar Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di DBP, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2023. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/HARAPAN DAILY

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata buku-buku yang dihasilkan oleh DBP mesti diwacanakan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Justeru itu, beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk merangka usaha tersebut bagi memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan.

Tambahnya semua pihak boleh berbeza pendapat tetapi ia mesti berdasarkan kekuatan ilmu dan bukan parti atau tokoh.

“Saya nak manfaatkan waktu ini untuk menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dan mendokong semangat islah dan perubahan serta mengangkat martabat negara bangsa dan Madani, ianya mesti berteraskan kepada keyakinan mendalam dan ilmu.

“Sebab itu dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan yang cukup luas daripada pandangan-pandangan tokoh gerakan Islam kepada pemikir-pemikir semasa,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: Anwar: Peruntukan RM1 juta untuk Kursi Siddiq Fadzil, laksana reformasi pendidikan

Makna besar Universiti Selangor, Dr Siddiq Fadzil pada Anwar