Janganlah rampas peranti pelapor

Seorang Tiktokers @BumiLangit12 menyeru pihak kerajaan supaya meminda undang-undang yang merampas peranti pelapor sebagai bahan bukti.

Beliau yang pernah ditahan kerana membuat laporan berkenaan kandungan media sosial berbahaya berkata, telefon bimbitnya sehingga kini belum dipulangkan kembali walaupun telah dibebaskan daripada tahanan reman sejak enam bulan lalu.

“Saya minta pihak berkuasa termasuk SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), polis, kementerian dan Kabinet sendiri untuk meminda undang-undang agar pelapor tidak dihukum termasuk dirampas telefon bimbitnya selepas laporan dibuat sebagai bahan bukti.

“Dalam kes saya yang lepas sehingga kini enam bulan saya masih belum dapat lagi telefon bimbit saya.

“Siasatan pun saya tidak tahu apa statusnya. Saya juga masih ingat dalam kes saya sendiri, polis yang membuat laporan ke atas saya,” ujarnya menerusi TikTok beliau dan Twitter aku/saya@bumilangit.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa banyak kandungan TikTok pada masa ini melibatkan terrorisme dan menganggu keharmonian kaum.

Namun, tegasnya, individu yang menjadi penyampai maklumat atau ‘whistleblower’ berisiko ditahan jika mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa.

“Isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan kaum tidak boleh dipandang ringan.

“Teruk sangat ni, saya boleh tunjuk tapi (nanti) saya kena tangkap sekali lagi.

“Rakyat nak tolong tapi kalau kerajaan tidak beri kerjasama, susah untuk kita tolong,” keluhnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengguna media sosial yang cuba untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan perpecahan perlu diberi pengajaran yang keras.

“Sekarang tengok, suka-suka hati, tiada masalah. Kita sendiri tengok pun takut. Tapi tak hairanlah, pemimpin dia sendiri berani cabar Perlembagaan. Macam mana?” tambahnya lagi.

Tahun lalu, lelaki berumur 40 itu direman pada 24 hingga 26 November bagi siasatan lanjut berkaitan video berunsur perkauman di Twitter.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

BACA JUGA Tiga TikTokers Pas sudah ‘hilang’ dari radar?