Anwar: Jangan guna naratif jumud serang kerajaan, Hadi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan parti pembangkang agar tidak menggunakan naratif jumud terhadap Pakatan Harapan (PH) kononnya gabungan tersebut tidak sesuai menjadi kerajaan kerana dikuasai parti bukan Islam.
“Itu dikira tidak betul.. yang penting bukan soal jumlah majoriti tetapi tentang dasar (yang dibawa kerajaan). Di mana dasar yang (menunjukkan) kita tinggalkan Islam, di mana? Kita khianat orang Melayu, mana? Kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek, di mana?”
“Ini penting kita nilai dan jangan gunakan naratif kolot dan jumud. Negara kita ini terdiri daripada pelbagai kaum. Sementara kita angkat penghayatan Islam, kita juga kena jaga supaya hak orang bukan Islam itu dipelihara. Ini perjanjian kita. ini jaminan keamanan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam, di ibu negara hari ini.
Ulasan itu dibuat apabila ditanya tentang kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PH tidak sesuai menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu dikuasai parti bukan Islam.
Hadi Awang menyifatkan kerajaan hari ini lemah kerana tidak diterajui parti Melayu Islam untuk memimpin Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.
Perikatan Nasional tidak hentikan rompakan
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, beliau tidak cenderung untuk rakyat dipesongkan dengan sentimen-sentimen sedemikian.
”Yang dia (pembangkang) tak jawab, mengapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas hentikan rompakan? Saya tahu ada dalam kalangan pembesar, tokoh-tokoh lama, dia kata ‘buat apa nak korek yang lama-lama’?
“Bukan saya korek tetapi harta rakyat mesti dipulangkan.. kalau tengok naratif yang lama-lama itu adalah di kalangan orang yang ada kes.. kalau diteliti betul-betul, dia takut dia disiasat.
“Kamu sudah ambil, pulangkan balik.. itu sahaja yang saya perlukan. Bagi saya kalau tanya tentang kejayaan, kita pertahan perlembagaan, kita tingkatkan makna bahasa, budaya, Islam, membasmi kemiskinan, keharmonian antara kaum dan menghormati hak mereka.
“Paling utama, hentikan amalan guna kuasa dan kedudukan untuk rompak harta rakyat. Itu yang patut ditekankan oleh parti Kerajaan Perpaduan dan juga pembangkang,” ujarnya lagi.
Mahathir dah letih
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan hubungan dua bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk bekerjasama, Anwar hanya memberi jawapan ringkas.
“Tak apa. Dia dah letih,” katanya.
Mahathir dan Mahiaddin telah menjalinkan hubungan mereka semula meskipun Mahiaddin memecat Mahathir dari Bersatu sebelum ini.
Kedua-dua mereka merupakan antara tokoh pengasas parti yang ditubuhkan untuk menggantikan Umno.
BACA JUGA: Syarikat konglomerat digesa menyokong industri seni, sastera
Â