Teo Kok Seong tidak mengerti masyarakat Cina

OLEH: LAI CHOY

Seorang lagi pensyarah keturunan Cina, Teo Kok Seong juga sering mengutuk masyarakat Cina. Dia mempertikaikan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kaum Cina di Malaysia.

Teo seorang Cina peranakan yang membesar di Kelantan. Dia tidak pernah belajar di sekolah Cina. Dia boleh berkomunikasi dengan orang Cina dalam dialek Hokkien. Akan tetapi, dia tidak mahir dalam bahasa Cina.

Selama ini, Teo berpendirian kurang menyokong kewujudan SJKC. Dia berpendapat orang Cina sepatutnya perlu mengutamakan pendidikan dalam bahasa Melayu kerana negara kita sudah mencapai kemerdekaan. Malah, dia beranggapan bahawa sekolah-sekolah di Malaysia patut diintegrasikan menjadi satu aliran sahaja supaya semua pelajar dari pelbagai kaum dapat berinteraksi dengan menggunakan bahasa kebangsaan secara lebih berkesan.

Teo selalu mengkritik masyarakat Cina tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan efektif. Murid-murid SJKC sering didapati tidak mampu memahami dengan betul soalan yang dikemukakan kepada mereka dalam bahasa Melayu dan gagal membalas soalan itu sebaik-sebaiknya.

Namun begitu, Teo tidak menyenaraikan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bagaimana SJKC mengabaikan pembelajaran bahasa kebangsaan.

Dia mengkritik keputusan peperiksaan yang dicapai murid-murid sekolah Cina tidak menunjukkan mereka betul-betul menguasai bahasa Melayu.

Pada masa sama, Teo mengecam masyarakat Cina sering memandang rendah kaum-kaum lain dengan berlandaskan keunggulan tamadun Cina yang meliputi sejarah 5,000 tahun.

Bagi saya, kecaman dan tuduhan Teo terhadap sekolah Cina dan masyarakat Cina adalah tidak tepat.

Pertama, sedia maklum bahawa masyarakat kita memang terbelenggu dengan sistem peperiksaan dari sekolah rendah sampai ke universiti, bahkan peperiksaan masih diperlukan bagi sesetengah profesion selepas seseorang itu keluar dari pintu sekolah.

Sehubungan dengan itu, semua pelajar Cina terpaksa menghadapi peperiksaan pelbagai subjek termasuk Bahasa Melayu.

Kedua, budaya Cina memang meliputi sejarah yang sangat lama. Keunikan ini cuma menambahkan keyakinan orang Cina terhadap warisan budaya mereka. Namun, ia tiada kena-mengena dengan isu pembelajaran bahasa kebangsaan.

Tambahan lagi, kaum Cina di Malaysia tidak pernah memandang rendah mana-mana kaum lain kerana kita semua hidup dalam sebuah keluarga besar yang mengutamakan keharmonian dan perpaduan.

Masyarakat Cina sedar bahawa bahasa Melayu merupakan medium komunikasi yang amat penting. Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukannya semakin meningkat semenjak negara kita mencapai kemerdekaan.

Walaupun begitu, masyarakat bukan Melayu menghadapi banyak cabaran dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Murid-murid SJKC terpaksa mempelajari tiga bahasa secara serentak. Jelas sekali beban murid SJKC adalah lebih berat berbanding dengan murid sekolah kebangsaan (SK).

Bagi ibu bapa kaum bukan Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu semuanya penting. Akan tetapi, bagi budak-budak kecil di sekolah rendah, bagaimanakah mereka dapat mencapai tahap penguasaan yang sama baik bagi ketiga-tiga bahasa itu?

Pembelajaran dan penggunaan bahasa sesungguhnya berkait rapat dengan persekitaran. Kebanyakan murid SJKC di Pantai Timur dapat bertutur bahasa kebangsaan dengan lancar kerana faktor persekitaran. Mereka mempunyai banyak peluang untuk menggunakan bahasa Melayu kerana hidup berdekatan masyarakat Melayu.

Murid-murid di Pantai Barat pula kurang pergaulan dengan kaum Melayu dalam kehidupan harian. Kebanyakan mereka tinggal di bandar atau kampung baru. Jiran-jiran kaum Melayu juga tidak ramai. Maka, peluang penggunaan bahasa Melayu secara relatif kurang berbanding dengan murid-murid Cina di Pantai Timur.

Pada hakikatnya, orang Cina terpaksa menguasai banyak bahasa dan dialek. Orang Cina menggunakan bahasa Cina baku dan dialek untuk berkomunikasi sesama kaum keturunan sendiri.

Mereka perlu menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan kaum lain. Bahasa Inggeris pula merupakan bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Maka, adalah tidak munasabah bagi orang Cina jika mempelajari satu bahasa sahaja.

Bagi saya, yang penting ialah masyarakat Cina berpeluang mempelajari dan menguasai asas bahasa Melayu.

Setelah murid-murid Cina tamat pelajaran di sekolah rendah, mereka tentu akan mempelajari dan mendalami sesuatu ilmu atau kemahiran untuk memenuhi keperluan hidup.

Tidak dinafikan Teo Kok Seong sememangnya seorang intelektual yang cinta berahi akan bahasa Melayu. Akan tetapi, bagi saya, Teo cuma merenung tentang pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu dari sudut pandangannya sendiri sahaja.

Jikalau orang Cina di Pantai Barat juga terdedah kepada persekitaran berbahasa Melayu dalam jangka masa yang panjang, saya yakin mereka pasti dapat bertutur dalam bahasa Melayu sama lancar seperti Teo Kok Seong.

Teo sering berbangga dengan kemahiran orang Cina di Kelantan bertutur dalam loghat Melayu Kelantan. Namun, kajian menunjukkan walaupun orang Cina di Kelantan bertutur dengan orang Melayu dalam bahasa Melayu, tetapi apabila berkomunikasi dengan kaum sendiri atau ahli keluarga, mereka lebih selesa menggunakan dialek Hokkien (rujuk buku karya Wee Chong Joi).

Menurut Wee Chong Joi, meskipun generasi tua orang Cina di Kelantan tidak mahir bercakap bahasa Cina, tetapi mereka tekad menghantar anak cucu ke sekolah Cina.

Walaupun mereka bertutur dalam dialek Hokkien yang bercampur aduk dengan kosa kata bahasa Melayu dan Siam, namun tabiat ini tidak menghalang mereka daripada mempertahankan identiti sebagai orang Cina.

Mereka turut memuja roh nenek moyang yang meninggal di rumah dan mempercayai kepada dewa dewi pujaan masyarakat Cina umum.

Saya berasa kesal barangkali kerana Teo tidak arif akan bahasa Cina menyebabkan dia kurang berupaya menguasai budaya dan sejarah kaum sendiri. Oleh sebab itu, adalah rumit bagi Teo memahami orang Cina, apatah lagi bersimpati akan situasi dan kesulitan sebenar yang dihadapi orang Cina.

Teo Kok Seong seolah-olah sangat ambil berat tentang masyarakat Cina. Oleh itu, dia seharusnya berjinak-jinak dengan masyarakat Cina.

Sesungguhnya, Teo Kok Seong juga merupakan salah seorang anggota masyarakat Cina Malaysia. Walaupun dia menggunakan dialek Hokkien Kelantan, masyarakat Cina tidak mempunyai masalah dalam menerimanya.

Bagi saya, bahasa ialah alat komunikasi untuk menghubungkan seseorang individu dengan individu yang lain. Yang penting ialah setiap anggota masyarakat dapat berkomunikasi sesama mereka dengan baik dan saling memahami melalui bahasa yang dipertuturkan.

Sesungguhnya, kita tidak mengharapkan setiap orang itu menjadi pakar bahasa.

*LAI CHOY ialah seorang bekas pendidik.

BACA JUGA: Menelusuri kritikan Ridhuan Tee terhadap UEC dan pendidikan Cina