Permohonan inisiatif TUNS dibuka semula dalam masa terdekat

Permohonan bagi Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang diperkenalkan kerajaan negeri, akan dibuka semula kepada golongan berkenaan dalam tempoh masa terdekat.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, permohonan yang dibuka semula itu melibatkan kategori TUNS, TUNS Plus dan TUNS Extra.

Beliau berkata, ketiga-tiga kemudahan tersebut telah ditutup pada 31 Mei lalu dan keputusan membuka semula permohonan dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Keusahawan Negeri Sembilan diadakan baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat ini, kita memutuskan TUNS, TUNS Plus dan TUNS Extra akan dibuka semula dalam tempoh masa terdekat ini.

“TUNS merupakan bantuan geran sehingga RM3,000 kepada usahawan mikro dan sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk tahun 2023.

“TUNS Plus pula adalah pinjaman tanpa faedah sehingga RM15,000. Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk tahun 2023 dan Seramai 417 usahawan mikro telah menerima manafaat pada tahun 2020 sehingga 2021 dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

“Ketiga adalah TUNS Extra merupakan geran padanan sehingga RM30,000 yang baru dimulakan pada tahun ini. Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk kemudahan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Untuk rekod, sebanyak 82.9 peratus penerima bantuan itu direkodkan telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka pada tahun lalu menerusi inisiatif tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 80 peratus penerima pula berjaya mengembangkan perniagaan mereka.

“Perkembangan positif itu dapat dilihat seperti mereka boleh menggajikan pekerja, mempelbagaikan produk serta perkhidmatan, meningkatkan produktiviti atau beralih ke premis lebih besar.

“Sejak tahun 2019 sehingga 2022, seramai 5,149 usahawan tempatan telah menerima manfaat daripada insiatif berkenaan,” kata Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

BACA JUGA 82.9 peratus penerima TUNS berjaya tingkat pendapatan