PM Anwar rafak sembah sempena Hari Keputeraan Agong

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda, hari ini.

Menteri Kewangan itu berkata, beliau mewakili Kerajaan Perpaduan mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta,” katanya menerusi media sosial malam tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau dan seluruh rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.

BACA JUGA Kalimah Allah: Peraturan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu Julai ini