Sanusi anggap Anwar ‘jiwa koyak’ tak benarkan Kedah Aerotropolis

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘jiwa koyak’ sehingga tidak membenarkan projek Kedah Aerotropolis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, Anwar marah dengan ucapannya di Tambun, Perak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Ekoran kenyataannya itu, Anwar menuntut Sanusi menarik balik dan memohon maaf tanpa syarat atas kenyataannya, dan membayar ganti rugi RM10 juta serta yuran guaman.

“Ini saya kata dia (Anwar) masa kempen PRU15 lepas, dia saman saya RM10 juta. Saya kata, saya tak akan minta maaf. Kita jumpa di mahkamah.

“Dia marah kes itulah, tak bagi Kedah Aerotropolis. Dia jiwa koyak,” sambil ketawa.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana PN Selangor sempena Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjung Karang semalam.

Dalam masa sama, Sanusi mempersoal tindakan saman RM10 juta oleh Perdana Menteri kerana katanya, dia hanya mengulas kes mahkamah.

“Ada ka saman aku RM10 juta. Nak bayar dengan apa? Bukan salah apa saya. Salah saya hanya mengulas kes mahkamah sahaja. Salah mahkamahlah,” ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu juga mengingatkan bahawa hati tidak boleh mudah tersentuh jika menjadi Perdana Menteri.

“Nak jadi Perdana Menteri, hati tak boleh ’tisu’. Kita bukan nak menghadapi Sanusi seorang saja.

“Jadi, Perdana Menteri nak menghadapi kerenah 32 juta rakyat Malaysia. Kita juga menghadapi ratusan dasar luar negara lain terhadap Malaysia,” tambah Sanusi lagi.

Dalam ucapannya di Tambun pada 13 November 2022, Sanusi mengungkit sabitan Perdana Menteri atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa, dengan mengatakan Anwar “muflis moral”.

BACA JUGA Hasut pengundi Kedah tolak PH-BN, Sanusi dakwa Kedah Aerotropolis dihalang