Dr Ismail jadi Pengerusi MADA, Muhammad dilantik Pengerusi KADA

Pelantikan pengerusi baharu bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkuat kuasa mulai 15 Mei lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan perkara tersebut semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dilantik sebagai Pengerusi MADA.

Pengerusi AMANAH Kedah itu menggantikan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman daripada Pas.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain dilantik sebagai Pengerusi KADA.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Kelantan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu menggantikan menggantikan penyandangnya, Datuk Kamaruddin Md Noor yang merupakan bekas Ketua Penerangan Bersatu.

Dr Ismail Salleh bersama Mohamad Sabu dan pegawai kanan KPKM.

 

Muhammad Husain bersama Mohamad Sabu dan pegawai kanan KPKM.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata pelantikan kedua-dua pemimpin AMANAH itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang pentadbiran, dasar dan pembangunan masyarakat.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti mereka dalam menggalas amanah menerajui kedua-kedua badan berkanun persekutuan di bawah KPKM,” katanya lagi.

 

BACA JUGA ‘Hal makanan tolonglah, jangan main politik’ – Mohamad Sabu