Tuntutan RM67.5 juta syarikat Lubnan: Rosmah nafi minta barang kemas

Nama Datin Seri Rosmah Mansor muncul lagi apabila syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL menuntut individu kontroversi itu memulangkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta.

Walau bagaimanapun Rosmah yang pernah terkait dengan kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu menafikan meminta barangan kemas seperti yang didakwa syarikat terbabit.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkannya semalam, Rosmah berkata, tujuan barang kemas diserahkan kepadanya adalah bagi manfaat dan keuntungan syarikat itu sendiri untuk menarik publisiti serta kredibiliti dalam kalangan pembeli.

Menurut Rosmah, barang kemas terbabit diserahkan kepadanya untuk dilihat atas kehendak dan kerelaan syarikat itu selaku plaintif tanpa ada kewajipan baginya untuk membeli.

Jelasnya, terdapat perniagaan seperti plaintif yang inginkan publisiti berhubung produk dan ingin dirinya menjadi pelanggan mereka memandangkan kedudukannya ketika itu sebagai isteri kepada perdana menteri.

“Saya menegaskan bahawa klausa wujud di atas memorandum bertarikh 22 Mei 2018 yang dirujuk plaintif sebagai nota konsainan (kiriman) dengan jelas menyatakan barangan itu dihantar untuk dilihat dan diperiksa oleh saya dan sekiranya berminat, maka satu perjanjian penjualan secara berasingan akan dikeluarkan.

“Saya juga mengambil semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan itu dan akan memperincikan ciri keselamatan yang diambil semasa perbicaraan kes ini,” katanya dipetik BH.

Rosmah menganggap “masih ada yang sayang” apabila menerima kunjungan yang dipanggilnya, “adik-adik” dari Badan Amal dan Kebajikan, Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sempena Syawal lalu.

Sehubungan itu, Rosmah berkata, dia tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan barangan kemas itu kerana ia sudah diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kerajaan melalui operasi perundangan.

Bekas Penaung Program Permata Negara berkenaan juga menegaskan bahawa dia bukan penyebab kehilangan barang-barang kemas terbabit.

Reaksi Rosmah itu sebagai menjawab saman kali kedua yang difailkan Global Royalty pada 29 Mac lalu.

Syarikat barang kemas Lubnan itu memberi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman terhadap Rosmah untuk mengembalikan 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta dalam keadaan munasabah dan baik.

Sekiranya Rosmah gagal berbuat demikian, Global Royalty menuntut wanita yang telah menerima barang kemas itu pada 22 Mei 2018 itu bertanggungjawab membayar kepadanya.

BACA JUGA Bukan Najib Hang Tuah, tetapi Rosmah yang ber’tuah’