Anwar fokus rakyat, bukan Langkah Dubai
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian untuk fokus terhadap rakyat dan negara dan tidak ambil pusing perihal rancangan penggulingan kerajaan terbaru, Langkah Dubai.
“Saya ada baca mengenai Langkah Dubai tapi bagi saya kita tumpu soal kerja.
“Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat.
“Tumpuan kita bangunkan negara jaga rakyat. Sampai hari ini perdana menteri masih Datuk Seri Anwar Ibrahim? Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku mengetahui perihal Langkah Dubai.
“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (di Dubai).
“Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa.
“Tidak ada langkah yang mendasarkan keputusan itu hanya kepada akuan bersumpah dan saya fikir langkah yang mereka lakukan bukan satu langkah baik kerana mereka sudah lakukan ‘tebuk atap’ ini beberapa kali,” katanya.
Rancangan penggulingan secara sulit ini didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.
Rancangan tersebut diusahakan ketika ahli parlimen kerajaan dan PN berada di ibu kota Emiriah Arab Bersatu.
PN bagaimanapun menafikan dakwaan Ismail.